Categories: HiburanTrending

Mahu Penuhkan 200 Peti Ais Setiap Hari Ramadan, Amaris & Mas Idayu Seru Bantuan Wang Tunai Program Infaq Ramadan

Pelakon Putra Amaris bersyukur apabila program anjurannya, #SamaSamaKenyang Infaq Ramadan bersama Dapur Pasak dapat diteruskan dengan menyantuni 10 rumah asnaf serta menganjurkan majlis berbuka puasa dengan 100 anak-anak Maahad Tahfiz Wa Ta’alimul Quran Arrahimiyah dan anak-anak yatim dari Kediaman Cahaya Ain di Taiping, Perak, baru-baru ini.

Menurut Amaris, mereka menghulurkan bantuan berupa barangan asas serta wang tunai untuk meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma.

“Syukur, kami dapat membantu 10 rumah asnaf ini memang yang betul-betul susah dan memerlukan. Kami menghulurkan sumbangan berupa tunai dan barangan keperluan asas untuk mereka yang benar-benar memerlukan.

“Untuk mereka yang sama-sama mahu menyumbang wang tunai, boleh terus salurkan sumbangan ke akaun CIMB – 8604587212 atas nama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, dengan bantuan yang dihulurkan, kami dapat menyelesaikan misi untuk memenuhkan 100 peti ais kediaman mereka yang memerlukan di setiap hari pada bulan Ramadan.

“Pada 1,2 dan 3 Ramadan, kami berjaya memenuhkan 200 peti ais. Jadi, jika kami konsisten dan menerima bantuan yang mencukupi, sasaran seterusnya adalah untuk memenuhkan peti ais untuk 2,000 rumah sepanjang sebulan puasa ini,” katanya.

Sementara itu, penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu yang turut sama turun padang menyertai program amal itu sepanjang bulan Ramadan ini turut berharap urusan mereka dipermudahkan.

“Saya gembira kerana dapat sama-sama membantu meringankan beban mereka yang memerlukan. Kami berharap bantuan mereka yang sama-sama prihatin untuk sama-sama berinfak agar perjalanan program ini berlangsung dengan baik.

“Selepas ini, kita akan bergerak untuk membantu pusat tahfiz sekitar ibu kota untuk menyantuni mereka serta berbuka puasa. Pelbagai perancangan sudah tersedia, antaranya kami mahu membawa mereka berbuka makanan yang sedap-sedap serta mahu membawa mereka bersiar-siar dan membeli kelengkapan raya baharu,” katanya.

Bersempena program terbabit, Dr. Dhia, pengasas Semblance Clinic telah bermurah hati untuk menaja majlis berbuka puasa dan memberikan sumbangan duit raya buat anak-anak Maahad Tahfiz Wa Ta’alimul Quran Arrahimiyah dan anak-anak yatim dari Kediaman Cahaya Ain.

Malah, Dr. Dhia bersama 19 klinik membayar sewa bulanan sebuah rumah berserta kelengkapan lain.

“Saya memang dah lama simpan impian untuk terlibat dalam acara sebegini. Kebetulan rezeki berjumpa dengan Amaris dan pasukan Dapur Pasak. Alhamdulillah, hasrat saya tertunai.

“Lebih-lebih lagi bila saya tahu kediaman Cahaya Ain tak pernah dijemput ke majlis berbuka puasa. Sejujurnya, saya rasa sebak dan gembira kerana dapat membantu,” katanya.

Padin