Categories: HiburanSelebriti

Mahu Tukar Angin, Aiman Tino Tolak Lagu Jiwang

Karier penyanyi Aiman Tino dilihat agak perlahan pada tahun lalu. Dengan kemunculan ramai penyanyi muda masa ini, Aiman mengambil langkah berani menukar pemilihan lagu. 

Kata penyanyi yang baru sahaja muncul dengan single Terlerai Sebuah Janji ini, dia sudah merancang untuk menggunakan komposer lain untuk projek seterusnya.

“ Sebelum ini banyak lagu saya dicipta oleh ibu dan bapa. Saya sudah berbincang dengan mereka untuk mendapatkan komposer baru yang boleh memberikan nafas segar dalam projek single seterusnya.

“ Namun tidak bermaksud saya sudah bosan menyanyikan karya ibu-bapa sendiri mahukan kelainan. Kalau boleh saya tidak mahu dikenali penyanyi lagu-lagu jiwang sahaja,” katanya kepada XTRA.

Tambah penyanyi berusia 21 tahun ini, jika diberi peluang dia mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh dan tidak terikat dengan sebuah genre sahaja.

“ Kalau diberi lagu rap, saya mahu cuba. Yang penting bukan lagi lagu jiwang. Saya faham sejak mula masuk industri seni, peminat mula kenal saya dengan lagu berentak perlahan. Cuma kalau jumpa komposer dan lagu sesuai, saya mahu beri kejutan. Aiman Tino bukan boleh bawa lagu jiwang saja tau,” katanya tertawa.

Dalam perkembangan lain, Aiman bakal masuk ke set penggambaran telemovie bertajuk Penunggu pada 25 Februari ini.

Kata Aiman, telemovie ini mengangkat tema komedi seram di bawah syarikat produksi A. Aida. Good Luck Aiman!

SGMS Faida