Masih Terima Mesej & Gambar Berbaur Godaan, Ini Tindakan Remy Ishak – “Kalau Ada Apa-Apa Berlaku…”

Pelakon Remy Ishak memberitahu dirinya masih menerima mesej-mesej serta gambar yang berbaur godaan meskipun sudah berumah tangga dan bakal menjadi bapa.

Memetik laporan Gempak, setiap kali menerima gangguan tersebut, dia sering berkongsi dan tidak menyembunyikan perkara itu.

Menurutnya, hal yang penting dalam rumah tangga untuk kekal bahagia adalah dengan berlaku jujur dan telus dengan pasangan masing-masing.

“Ada je saya terima mesej, saya tunjuk dengan isteri. Apa yang lebih pelik, kadang-kadang yang hantar tu menggunakan nombor luar negara, nombor yang saya tak kenal.

“Dalam berumah tangga, apa yang penting adalah kejujuran dan ketulusan. Sebab kalau ada apa-apa berlaku pada masa akan datang, isteri saya tahu macam mana.

“Kalau tak kongsi, banyak sembunyi akan timbul masalah nanti,” ujarnya.

Berikutan isterinya, Ezza Yusof yang bakal bersalin pada bulan Ogos depan, Remy akan lebih menguruskan jadual lakonannya.

“Saya banyak juga tanya isteri dan berbincang mengenai cuti daripada berlakon. Sebab saya ada terima beberapa tawaran projek untuk filem tapi saya perlu aturkan sebab saya nak isteri bersalin dulu.

“Drama pula, saya akan terima tawaran setahun sekali sebab drama perlukan persediaan mental dan ia memenatkan. Lebih-lebih lagi kita banyak hasilkan drama dengan episod yang banyak,” jelasnya.

Untuk rekod, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 dan bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Maya Basir