Masya Masyitah Bakal Pindah China?

Buat pertama kali, penyanyi Maysa Masyitah bakal menyambut bulan Ramadan di negara orang.

Kata Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff, dia bakal terbang ke China pada Mei ini untuk menyertai sebuah program realiti, The Coming One musim ketiga.

“ Saya akan tinggal di sana untuk beberapa tempoh selepas dipilih menyertai program realiti nyanyian. Sedih sebab ini pertama kali saya berjauhan dengan ibu. Tetapi saya percaya peluang begini susah untuk datang lagi, jadi saya sahut cabaran ini.

“ Saya hadir ke uji bakat di sana pada bulan Mac lalu, kebetulan saya menjalani penggambaran di sana. Alang-alang saya ke uji bakat tersebut dan tidak sangka dipilih,” katanya ketika ditemui media di majlis pengumuman barisan artis Rocketfuel Entertainment, semalam.

Terdahulu, Masya turut terlibat dalam program ulangtahun ke 45 kempen Hubungan Diplomatik Malaysia-China yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia. 

Tambah penyanyi berusia 19 tahun ini, dia akan cuba memperbaiki kemahiran dalam bahasa Mandarin selepas ini.

“ Saya boleh berbahasa Mandarin sedikit memandangkan pernah bersekolah di sebuah sekolah cina ketika di peringkat menengah.

“ Cuma tidak begitu fasih tetapi masih boleh diperbaiki. Sebagai persediaan awal, saya banyak mempelajari di Youtube.

“ Untuk memantapkan lagi teknik nyanyian lagu-lagu cina, saya mengikuti kelas dengan seorang cikgu berbangsa cina. Ini sangat penting bagi memastikan sebutan saya betul bila membuat persembahan nanti,” katanya.

Program realiti The Coming One merupakan anjuran syarikat Tencent Media.

SGMS Faida