Meer Nash Cipta ‘Permata’ Buat Peminat

Penyanyi berbakat besar Meer Nash dengan imej serta gaya persis bintang K-Pop dan mampu bertutur serta menyanyi dalam Bahasa Mandarin yang fasih, mencuri perhatian pencinta muzik tempatan dan mampu menempatkan dirinya di kalangan bintang-
bintang baharu yang lebih menyerlah.

Kini, Meer Nash kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul ‘Permata’ yang dicipta dan ditulis oleh Senna ini disusun oleh Afiq Aiman dan diterbitkan oleh Kharisma Music.

‘‘Permata’ adalah sebuah balada yang indah, dan siapa yang mengenali saya pasti tahu bahawa saya memang peminat lagu-lagu bergenre sedemikian. Saya memang jatuh cinta pandang pertama dengan lagu ini sebaik sahaja mendengar demo asal yang diberikan.

“Selain melodinya yang indah, liriknya juga sangat menyentuh hati. Malah, lagu ini mampu mengingatkan kita supaya menghargai orang yang kita sayangi kerana kita tidak tahu berapa lama mereka akan berada di dunia ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, lagu ini terpaksa dirakam dua minggu selepas diterima, lantas ada sedikittekanan untuk menyiapkannya.

“Apatah lagi saya belum ‘masak’ dengan selok-belok lagu ini. Dan sewaktu rakaman saya berasa gugup kerana ramai yang memerhati sampai saya rasa kurang yakin. Lagu ini menuntut kemahiran serta cara pernafasan yang betul.

Malah emosi saya terganggu dan saya sempat terhenti serta menangis seketika sewaktu rakaman. Saya merakam sebanyak dua kali kerana emosi lagu ini sukar untuk disampaikan,” ujarnya lagi.

Lagu ini juga hadir dengan sebuah muzik video yang menarik.

“Saya sangat teruja kerana kali ini ibu saya turut membuat kemunculan dalam video muzik tersebut. Malah saya dapat rasakan perasaan gugup yang dihadapi ibu saya sewaktu proses penggambaran. Namun ia babak comel yang takkan dapat saya lupakan walaupun proses penggambaran memakan masa sehingga 15 jam,” ulasnya tentang video muziknya.

Meer Nash juga bakal beraksi di pentas Big Stage musim ke 5. Jangan lupa untuk saksikan kemuculannya dikaca televisyen anda.

Permata boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX,Deezer dan YouTube Music mulai 5 Mei jam 12 tengah malam, manakala music videonya pula boleh ditonton di laman YouTube Meer Nash.

Nurul Hana