Meerqeen Jadi Artis Malaysia Pertama Dilantik Jadi Duta Jenama Mewah Antarabangsa!

Pelakon popular, Meerqeen, 21, teruja apabila dia dilantik sebagai duta jenama warga Malaysia pertama untuk foundation dan fragrance franchise salah satu produk jenama mewah antarabangsa, YSL Beauty.

Menurut Meerqeen, selain komitmen jenama antarabangsa itu terhadap kreativiti dan ekspresi kendiri yang ditunjukkan, ia juga sememangnya membuatkan dia kagum kerana sentiasa melangkaui batasan.

“Saya selalu kagum dengan komitmen jenama ini terhadap kreativiti dan ekspresi kendirinya. Sudah semestinya saya berasa teruja apabila menjadi artis Malaysia pertama dilantik sebagai duta jenama mewah antarabangsa ini,” katanya.

 

Dalam pada itu, pemilihan Meerqeen atau nama penuhnya, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam ini adalah berdasarkan kepada stail yang luar biasa serta pendekatan yang tidak gentar dengan kehidupan memberi peluang untuknya terpilih menjadi wakil ideal jenama ini.

Malah, popularitinya dalam kalangan anak muda menjadi teladan untuk mereka terus berinspirasi dan hidup tanpa kompromi.

“Personaliti dan nilai Meerqeen amat sejajar dengan etos jenama kami yang mendukung keindividuan dan melangkaui batasan. Pihak kami teruja untuk menyaksikan kolaborasi Meerqeen dan YSL,” jelas Zaireen Ibrahim selaku Ketua Pengurus Besar Jenama YSL Beauty Malaysia dan Singapura.

Untuk rekod, nama Meerqeen mula melonjak dalam industri seni tanah air selepas membintangi drama rantaian Melur Untuk Firdaus yang ditayangkan di TV3 bergandingan bersama pelakon, Anna Jobling.

Kini, drama Melur Untuk Firdaus 2 sedang rancak ditayangkan di slot Akasia TV3. Jangan lupa saksikan setiap hari jam 7 malam!

Salma Syahbuddin