#mentor7: ‘Rezeki Setakat Sini Saja’, Giliran Amal Ucap Selamat Tinggal

Minggu kelima program realiti Mentor 7 menyaksikan protege Hafiz Suip, Amal tersingkir.

Biarpun persembahan protege berusia 21 tahun ini dilihat sempurna dengan lagu Sedetik Lebih, Amal gagal ‘memancing’ pihak juri sekaligus terpaksa meninggalkan pentas Mentor 7.

Amal atau nama sebenarnya Mohd Amal Mohd Faudzi ketika ditemui sebentar tadi memberitahu dia reda dengan keputusan penyingkirannya. 

“ Alhamdulillah setakat ini sahaja perjalanan saya bersama program Mentor 7. Banyak yang saya belajar sepanjang menjadi protege kepada Abang Hafiz.

“ Saya amat berterima kasih dengan segala tunjuk ajar yang telah diberikan. Buat pasukan produksi, terima kasih atas pengalaman terindah ini. Saya tidak kecewa, mungkin rezeki saya setakat sini sahaja. Mungkin selepas ini, Insya Allah,” katanya kepada xtra.com.

Tambah Amal, dia akan sentiasa ingat segala pesanan yang diberikan oleh mentornya.

“ Abang Hafiz juga memaklumkan dia akan membantu kami (Amal dan Azmirul) dari segi publisiti. 

“ Maksudnya, jika dia membuat persembahan di mana-mana tempat, dia berjanji akan memperkenalkan bakat kami agar peminat sedar akan kewujudan kami dalam industri,” akhirinya.

Enam protege bakal berentap pada minggu seterusnya. Jangan lupa saksikan Mentor 7 setiap Ahad jam 9 malam disiarkan secara langsung di TV3. 

SGMS Faida