Categories: HiburanTrending

“Menyanyi Saja Tak Cukup, Saya Perlu Lengkapkan Dengan Ilmu” – Aina Abdul Bersyukur Berjaya Genggam Sarjana Muda Muzik

Penyanyi Aina Abdul, 28, bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Muzik Kontemporari di Universiti UCSI, Kuala Lumpur.

Menghadiri sesi graduasi yang berlangsung pagi tadi, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani mengakui sukar untuk belajar dan bekerja pada masa yang sama.

“Saya dah habis belajar tahun lalu, tetapi majlis konvokesyen ditangguhkan kerana pandemik Covid-19. Alhamdulillah, akhirnya majlis graduasi berlangsung sebentar tadi dan saya secara rasminya telah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda.

“Bukan mudah untuk saya belajar dan bekerja dalam satu masa yang sama tetapi saya tetap berusaha mahu menamatkan pengajian. Ada ketika saya rasa letih tapi saya harus mencuba bersungguh-sungguh.

“Saya pernah menangguhkan pengajian pada penghujung 2014 kerana menyertai Mentor Legend. Selepas itu, saya mencari tapak dalam bidang seni dan pada masa yang sama menyambung semula pengajian.

“Saya sedar yang menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan ia dengan ilmu. Lagipun, saya belajar dalam bidang muzik juga, jadi saya banyak aplikasikan apa yang saya pelajari dalam kerjaya harian saya,” katanya ketika dihubungi Xtra.

Pelantun lagu Semalam, Sumpah dan Sepi ini juga berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan dorongan positif.

“Keluarga, pensyarah, pihak universiti dan rakan-rakan banyak memberikan sokongan tak berbelah bahagi.

“Peminat saya, Ainations juga menjadi penguat semangat untuk saya melangkah lebih maju. Setiap kali jika saya rasa lemah semangat, saya terus teringat orang yang menyokong saya.

“Saya tak boleh berhenti kerana ramai yang memberikan sokongan serta aura positif untuk melihat saya melangkah jauh. Saya harus banggakan mereka,” katanya lagi.

Padin