Kos Menunaikan Haji Dijangka Mencecah Lebih 50 Peratus ATAU RM30,000

Kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, VAT itu meningkat kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini menyebabkan jangkaan peningkatan kos haji sebanyak lebih 50 peratus.

“Peningkatan kos sebahagian besarnya berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi termasuk penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas.

“Jumlah tepat kos haji akan datang itu bagaimanapun akan diputuskan dalam kabinet dan diketahui awal tahun hadapan,” katanya

Bagaimanapun, Tabung Haji tetap akan menanggung sebahagian daripada kos, namun jumlah yang akan ditanggung itu masih belum diputuskan.

Dalam perkembangan lain, pihaknya akur dengan segala keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi sama ada mengekalkan kuota sedia ada iaitu 30,000 jemaah atau dikurangkan. Bagaimanapun, keputusan tersebut akan diketahui pada awal tahun depan.

 

Sumber: BH

Salma Syahbuddin