Mila Jirin Dapat Izin Suami Buat ‘Comeback’, Bakal Keluarkan Single Terbaharu Ciptaan Amylea

Usahawan dan penyanyi, Mila Jirin memberitahu suaminya, Isz Mustapha memberi keizinan untuk dirinya kembali menyanyi selepas enam tahun menyepi dalam bidang nyanyian.

Memetik laporan Harian Metro, Mila atau nama sebenar Noorsyarmilla Jirin, 36, mendedahkan sebelum ini suaminya tidak membenarkan menyanyi kerana bimbang tidak dapat membahagikan masa dengan anak dan perniagaan yang diusahakan.

Tambahnya, dia akan muncul dengan single baharu bersama penyanyi Amylea bagi memenuhi permintaan peminat yang merindukan karyanya.

“Peminat yang mahu saya kembali menyanyi. Malah, ramai pihak yang mahu saya buat persembahan selepas saya menyanyi di aplikasi TikTok sebelum ini.

“Pada masa sama, suami juga sudah beri kebenaran kerana anak kami pun sudah berusia tujuh tahun dan perniagaan juga stabil.

“Kami juga sudah memiliki team yang ramai di Bizmilla untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Mengulas tentang kerjasama dengan Amylea, Mila dihubungi sendiri oleh penyanyi dan komposer berkenaan menerusi WhatsApp tentang sebuah lagu yang sesuai untuk single baharunya itu.

“Saya tengah buat rakaman demo dengan Amylea dan berasa teruja untuk proses rakaman single berkenaan di studio pada minggu depan.

“Single baharu ini genre balada dan sesuai dengan usia saya yang sudah dewasa dan matang sekarang.

“Insya-Allah, kami akan menghasilkan karya yang baik untuk peminat,” ujarnya.

Meskipun dibenarkan menyanyi semula, Mila menyatakan dia memang tidak membuat sebarang persembahan pentas buat masa ini.

“Suami baru izinkan saya buat single baharu dulu dan saya juga kena pujuk suami lagi untuk buat persembahan di pentas pula selepas ini.

Sebagai anak seni, saya memang rindu untuk kembali beraksi di pentas dan menghiburkan orang ramai,” jelasnya.

Maya Basir