MK Mohon Maaf, Tetap Kirim Doa & Sokong Tuju – “Semoga Berjaya Dunia Akhirat”

Penyanyi MK K-Clique tampil menjelaskan hubungan terkininya bersama bekas anggota kumpulan itu, Tuju yang kini kerap kelihatan membuat lagu bersama isterinya, Loca B.

Menurut MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin, dia sudah meminta maaf kepada Tuju dan tidak kisah sekiranya dia lebih selesa meneruskan kerjayanya bersama isterinya.

Malah, dia bersama ahli anggota kumpulan yang lain tetap menyokong Tuju sepenuhnya.

“Sekarang hubungan kita da ke fasa seterusnya di mana kita membesar. Bagi saya secara peribadinya, saya mewakili K-Clique kami okay dia nak sambung karier dia dengan wife dia. Lagi baik sebenarnya.

“Kami akan sokong 100 peratus. Walaupun ada masalah yang orang pertikai dulu, masalah tu masalah adik beradik. Bagi saya sekarang saya dah sedar dan saya sokong dia sepenuhnya.

“Saya minta maaf kalau saya ada lukakan hati dan mengguris hati dia bagi pihak K-Clique. Untuj kerjaya, saya doakan dia berjaya dunia akhirat, terbaik untuk keluarga. Kami ada dibelakang sentiasa,” katanya.

Perkara itu telah didedahkan oleh MK menerusi sebuah program temu bual TV3, Melodi, baru-baru ini.

Dalam pada itu, MK turut menyatakan setakat ini mereka belum bertentang mata lagi kerana sedar setiap ahli sudah mempunyai kehidupan bersama keluarga masing-masing.

“Saya sendiri nak lepak dengan ahli yang lain saya agak memilih masa. kita ada keluarga sekarang. Macam saya ada isteri yang menunggu di rumah. Jadi kita faham sekiranya tak ada masa untuk lepak.

“Untuk menjawab soalan itu dengan lebih terperinci, sekarang ini tak ada sebab dia sibuk dengan hal dia mungkin. Secara jujur saya tak ada chat dan bertanya khabar dia, tapi doa saya sentiasa ada untuk semua ahli,” jelasnya.

Terdahulu, Tuju telah mengumumkan dirinya sudah tidak lagi bersama kumpulan K-Clique malah ada juga yang mendakwa mereka berbalah antara satu sama lain.

Kini, kumpulan yang terkenal menerusi lagu Mimpi itu dianggotai oleh MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.

Fatin Nurain