“Mohon Doakan Dipertemukan Jodoh Yang Baik…” Amira Othman Sentiasa Positif Apabila Dikaitkan Dengan Jodoh

Penyanyi Amira Othman sentiasa bersikap positif apabila ditanya soal jodoh ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Menurut Amira, dia menganggap soalan itu adalah perkara normal yang sering ditanyakan oleh saudara-mara bagi memulakan perbualan.

“Kalau dulu mungkin saya sedikit tertekan dengan pertanyaan seperti ini, tapi sekarang saya anggap ia sesuatu yang normal.

“Saya percaya semua orang pasti nak tahu bilakah individu yang masih bujang akan melayari bahtera rumah tangga.

“Jadi tak perlulah nak stres sebaliknya berlapang dada untuk menjawabnya. Jawapan saya mudah saja setiap kali disoal iaitu mohon doakan agar dipertemukan jodoh yang terbaik,” katanya.

Amira turut menyatakan dia reda apabila masih belum bertemu dengan jodoh yang tepat dalam hidupnya walaupun sudah berusia 29 tahun.

“Saya sebenarnya meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 30 tahun, tapi tahun ini sudah 29 tahun dan masih belum berjumpa dengan jejaka pilihan hati.

“Kadangkala apa yang kita rancang tak sama dengan apa yang Tuhan sudah takdirkan. Saya reda dan sentiasa berfikiran positif apabila berkaitan jodoh,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain