Muka Sweet Tapi Fify Azmi Suka Gaduh?

Siapa sangka filem Wira adalah filem pertama yang dilakonkan oleh model dan hos, Fify Azmi? Biar pun pertama kali berlakon, Fify telah menunjukkan bakatnya setanding dengan pelakon-pelakon yang lebih senior. 

Membawa watak Zain, adik kepada ‘Hassan’ yang dibawa oleh pelakon Paskal, Hairul Azreen, bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2015/2016 ini  berjaya membawa wataknya dengan baik apabila mendapat pujian ramai penonton yang bersorak untuk ‘Zain’ setiap kali dia berlawan.

Rata-rata merasakan watak Fify sebagai ‘Zain’ adalah seorang yang ‘bad ass’ apabila menonton naskah arahan sutradara Adrian Teh ini sehinggakan terdengar seorang penonton menyamakan Fify dengan pelakon Malaysia yang terkenal di Hollywood dan Hong Kong, Michelle Yeoh yang sering membawa watak-watak aksi. 

Memetik laporan sebuah portal, Fify atau nama sebenarnya Nor Afiqah Mohamed Azmi (29) berasa terharu dan bersyukur apabila usahanya untuk memastikan watak ‘Zain’ dibawa dengan baik berbaloi.

“Alhamdullillah kalau orang suka.  Bukan senang untuk melakukan semua, bayangkan setiap hari sebelum penggambaran, Adrian Teh akan tanya sama ada saya boleh lakukan atau tidak.

“Dia nak pastikan saya betul-betul boleh melakukan watak ini kerana Wira adalah sebuah filem aksi yang menuntut komitmen cukup tinggi daripada saya,” katanya. 

Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi Hairul Azreen, Fify Azmi, Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan dari Malaysia.  

Ia juga menampilkan pelakon-pelakon dari Indonesia seperti pelakon aksi terkenal Yayan Ruhian, pelakon Ismi Melinda dan pengarah popular, Dain Said yang melakonkan watak antagonis. 

Wira diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios dan sedang ditayangkan di pawagam-pawagam berdekatan anda.

Jangan ketinggalan menonton Wira terutama sekali jika anda seorang peminat tegar filem aksi! Action packed, anda pasti tak senang duduk!

Del14