‘Mula-Mula Segan, Tapi…’-Fara Fauzana Kongsi Pengalaman Buat FB Live Di Makkah

Pengacara dan penyampai radio digital Dbilique mengaku pada mulanya dia segan untuk berkongsi aktiviti di Facebook sewaktu di Tanah Suci, baru-baru ini.

Fara yang berpeluang mengerjakan Umrah bersama warga kerja Dbilique mengaku agak kekok kerana pertama kali membuat live di kota Makkah.

“ Kalau dulu saya pergi dengan keluarga dan hanya fokus beribadah. Sebelum ini saya ke sana boleh ikut jadual sendiri contohnya mahu duduk di masjid selepas Zohor hingga Asar.

“ Tetapi kunjungan kali ini, jadual Umrah saya agak berbeza. Saya perlu bersiaran langsung di FB Dbilique yang mana tugasan diberikan adalah menunjukkan segala aktiviti harian. Mula-mula seganlah juga,” katanya kepada XTRA.

Walaubagaimanapun, Fara yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke 40 baru-baru ini bersyukur kerana diberi peluang mengerjakan Umrah bersama rakan sekerja dan teman-teman rapat.

“ 12 hari yang cukup bermakna dalam hidup saya. Apa lagi melihat respon diterima ketika live. Berkongai info tentang kunjungan kali ini sedikit sebanyak dapat membantu penonton yang bakal mengerjakan Umrah buat pertama kali,” katanya.

Terdahulu, Fara berangkat ke Tanah Suci pada 26 Mac lalu bersama warga kerja Dbilique termasuklah Faizal Ismail dan Tini Ariffin. 

SGMS Faida