Tak Jadi Saman, Pak Ya Maafkan Lan Pet Pet

“ Saya maafkan Lan bukan kerana duit tetapi keinsafan dirinya,” demikian kata pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya selepas bersemuka dengan pelawak terkenal itu, malam tadi.

Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad telah berjumpa dan membuat permohonan maaf dengan Pak Ya atas insiden kekasaran yang berlaku di Acacia Park Desa Jati pada dua minggu lalu.

“ Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun bulan Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi. Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia.

“ Saya bukannya pendendam. Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka,” kata Yahya seperti laporan BH Online.

Tambah Yahya, dia tersentuh melihat kesungguhan Mazlan untuk datang bersemuka dengannya dan meminta maaf.

“Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Saya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.

“Saya tidak akan meneruskan tindakan saman itu,” katanya.

Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

Mazlan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof.- BH Online. 

SGMS Faida