‘Mungkin Ada Hikmah…’- Usop Kongsi Pengalaman Cemas Selepas Beraksi Di Muzik-Muzik 34

“Saya percaya ada hikmah atas apa yang terjadi, mungkin kejayaan menunggu di depan,” kata penyanyi Usop yang berdepan situasi cemas selepas selesai membuat persembahan di pentas semi final Muzik Muzik 34, malam tadi.

Kata Usop ketika dihubungi memberitahu dia yang dalam perjalanan pulang ke Kulim menghantar ibu-bapanya berdepan dugaan apabila tayar keretanya tiba-tiba meletup di lebuhraya.

“Hanya Allah SWT sahaja tahu bagaimana perasaan saya ketika itu kerana kejadian berlaku tengah malam malah ibu-bapa juga nampak pucat di dalam kereta.

“Saya faham kereta yang lalu lalang sukar untuk memberhentikan kenderaan kerana gelap gelita. Saya hubungi pihak peronda PLUS dan mereka tiba tidak lama kemudian. Alhamdulillah kami selamat tiba di Kulim,” kata Usop.

Tambah Usop, insiden yang berlaku di kawasan Tanjung Malim itu dianggap sebagai ujian untuknya sekeluarga.

“Tak apalah asalkan kami sekeluarga selamat tiba di Kulim. Saya juga gembira mak ayah saya sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan persembahan saya malam tadi,” akhirinya.

Usop membawakan lagu Aku Yang Bersalah ciptaan Haqiem Rusli dan Fareez Fauzi di pentas separuh akhir Muzik Muzik 34 yang bersiaran langsung di TV3 malam tadi.

SGMS Faida