Kali Pertama Berpuasa Bersama Suami, Nabila Razali Masuk Dapur Jam 2 Pagi Sediakan Sahur – “Saya Agak Nervous”

Penyanyi Nabila Razali akui berasa sedikit gementar apabila pertama kali memasak juadah sahur buat suami tercinta, Nik Iruwan Nik Izani.

Bercakap kepada XTRA, Nabila juga memaklumkan dia memasak juadah bersahur seawal jam 2 pagi kerana takut lewat.

Dalam masa sama, pelantun lagu Peluang Kedua itu turut bersyukur apabila suaminya itu seorang yang senang dalam soal makan.

“Saya masak juadah sahur juga, kadang-kadang tidak sebab kami moreh lewat dan bangun makan kurma sahaja.

“Alhamdulillah, dia seorang yang senang saja, tak banyak kerja sangat lah. Tapi saya juga mesti mahu memasak buat suami.

“Saya agak gementar pada mulanya sebab nak masak juadah sahur untuk suami. Pada hari pertama puasa, saya masuk ke dapur pada jam 2 pagi. Sebab saya takut lambat dan terlajak tidur.

“Namun hari-hari berikut saya dah mula dapat rentak untuk memasak juadah bersahur,” katanya.

Selain baru sahaja meluncurkan lagu raya pertama yang berjudul Raya Mana?, Nabila juga turut berkongsi perancangan dalam kariernya.

“Bulan Ramadan ini saya bersyukur sangat dengan rezeki yang datang. Selepas berkahwin dia lain macam sedikit, Alhamdulillah.

“Saya juga baru rilis lagu raya pertama saya Raya Mana? dan beberapa produk untuk perniagaan saya.

“Selepas raya juga saya akan masuk set penggambaran semula dan lancarkan single akan datang. Banyak perkara yang saya rancang, harapnya dipermudahkan,” kongsinya.

Untuk info, Nabila juga baru sahaja tampil dengan lagu raya pertama beliau yang berjudul Raya Mana?.

Lagu Raya Mana? boleh didengari di semua pelantar digital utama dan muzik video juga boleh ditonton di Youtube Nabila Razali.

Khairil Khusyairi