Nadeera Buat Laporan Polis, Ambil Serius Isu Fitnah Melampau Babitkan Pengurus -“Saya Percaya Isu Timbul Untuk Rosakkan Kerjaya Seni Saya”

Penyanyi Nadeera memaklumkan, dia mengambil serius terhadap tuduhan dan fitnah melampau yang dibuat seorang penata gaya terhadap pengurusnya, Muhammad Azizi atau lebih dikenali sebagai Zizi Hadid.

Katanya, segala dakwaan dan fitnah yang menghambat pengurusnya termasuklah tidak bersikap jujur dan pecah amanah adalah tidak benar.

Malah, tuduhan sedemikian membuatkan dirinya kini dilabel sebagai mangsa keadaan.

“Saya mengambil maklum dengan beberapa tuduhan serta ugutan yang dibuat seorang penata gaya terhadap pengurus saya Muhammad Azizi (Zizi Hadid) di akaun Instagram miliknya kebelakangan ini.

“Di sini saya ingin menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan dan fitnah yang dilemparkan individu itu yang mendakwa pengurus saya tidak bersikap jujur dan pecah amanah.

“Tuduhan yang telah dilemparkan terhada pengurus saya seolah-olah memberi gambaran bahawa dia seorang yang telah melarikan duit bayaran persembahan, berlaku tidak jujur terhadap pengurusan perjalanan karier saya dan tuduhan lain seolah-olah menggambarkan saya sebagai mangsa.

“Dengan ini saya menyatakan dengan sekeras-kerasnya bahawa segala tuduhan itu adalah tidak benar sam asekali. Penglibatan saya dalam industri dibawah seliaan pengurusan saya adalah diuruskan secara profesional,” katanya.

Perkara itu dikongsi Nadeera atau nama penuhnya Nadeera Zaini, 30, menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Emas ini juga dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung isu kontroversi tersebut.

“Saya amat mengambil serius isu ini dan atas nasihat peguam, satu laporan polis sudah dibuat oleh pengurus saya semalam. Saya amat mempercayai kredibilitinya sepanjang beliau menjalankan tugas.

“Saya dan pihak pengurusan juga sedang meneliti semua perkara yang dimuat naik dan bersedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat unsur ugutan dan fitnah membabitkan pengurus saya,” jelasnya.

Salma Syahbuddin