‘Isteri Meroyan Setiap Kali…’ Tauke Jambu Nafi Cerai Isteri Guna WhatsApp

Semalam, isteri kepada Tauke Jambu, Nadia Mohd Affendi mengakui mereka sudah berpisah sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Tauke atau Zamatul Amri Zakaria menafikan hal ini namun mengaku rumah tangga mereka sedang diuji.

“ Cerita cerai menerusi whatsapp adalah tidak benar. Saya tidak lafaz talak terhadap isteri. 

“Apabila sedang marah, macam-macam tuduhan dilemparkan, tetapi sebagai suami, saya kena sabar,” katanya kepada BH Online.

Tauke yang kini sibuk dengan program Maharaja Lawak Mega 2018 meminta agar diberi ruang buat masa ini.

“Saya anggap ini asam garam dalam berumah tangga. Bagi saya ruang untuk menyelesaikannya, tetapi buat masa ini, saya sangat sibuk dengan MLM2018,” katanya.

Tauke juga menafikan malah terkejut dengan dakwaan mengatakan dia memiliki hubungan sulit dengan wanita dari seberang.

“Macam-macam orang selfie dengan saya. Nadia ingat dia berkahwin dengan orang kerja kilang ke?

“Saya pelik kenapa orang perempuan suka mengadu dalam laman sosial daripada mengadu dengan Tuhan? Masalah dalaman rumah tangga tidak perlulah dikibarkan dengan khalayak.

“Saya anggap isteri saya belum cukup matang. Dia tidak boleh berfikir baik buruk tindakannya,” katanya.

Tauke berkata, dia melihat ada unsur-unsur sabotaj setiap kali terbabit dalam pertandingan besar seperti MLM atau Super Spontan.

“Ada orang menggunakan isteri saya untuk membuatkan saya hilang fokus dan tertekan. Saya perhatikan isteri akan meroyan teruk setiap kali saya menyertai pertandingan besar.

“Ini berlaku sejak zaman Jambu dan kami belum berkahwin lagi.

“Saya tengok Nadia seperti kena sampuk apabila saya terbabit dengan pertandingan. Dia suka buat hati saya panas dan mencetuskan pergaduhan.

“Kami pernah bergaduh hingga pecah telefon bimbit sebelum saya naik pentas. Macam mana saya mahu memberi tumpuan dan membuat orang ketawa dengan lawak jenaka apabila baru bergaduh?

“Selepas selesai pertandingan, hubungan kami elok, tidak pula bergaduh,” katanya.

Tauke berkata, dia tahu itu bukan sikap sebenar isterinya.

“Saya bukanlah nak percaya benda mistik tetapi itulah yang berlalu sejak belum berkahwin lagi. Ada juga yang menjadi batu api dan menghasut isteri.

“Kali ini, hubungan saya dan Nadia panas sejak minggu pertama dalam MLM2018. Saya tidak mahu menuduh sesiapa, tetapi saya percaya ini kerja manusia yang sakit hati melihat kejayaan orang lain,” katanya.

Tauke dan Nadia berkahwin pada 9 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zamatul Khayla Aydina yang lahir pada  26 Oktober tahun lalu.- BH Online.

SGMS Faida