Nafi Tiru, Lagu Indonesia Jadi Inspirasi Buat Aisha Retno Hasilkan Single Baharu

Penyanyi Aisha Retno,  mengakui jadikan lagu dari Indonesia seperti Lathi nyanyian Sara Fajira and Weird Genius sebagai inspirasi single terbaharunya, Sutera.

Selepas menjadi perdebatan dalam kalangan warga maya, Aisha tegas menyatakan bahawa dirinya tidak meniru, malah sudah lama berhasrat untuk hasilkan lagu yang berunsurkan bahasa Jawa.

“Saya ingin menekankan di sini bahawa mengambil inspirasi dan meniru itu adalah berbeza. Saya pun memang sudah lama simpan hasrat hasilkan lagu yang disuntik bahasa Jawa.

“Maklum saja, saya sendiri pun memang ada darah Jawa dan lagu berentak EDM Jawa tidak banyak di pasaran. Mengambil inspirasi itu penting tapi jangan sekali-kali meniru sama seperti lagu lain.

“Saya bersyukur sebenarnya apabila mendapat pelbagai reaksi baik positif mahupun negatif. Ia bermakna ramai ambil berat terhadap corak karya saya dan hal itu cukup memadai buat saya sebagai anak seni,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Aisha turut memaklumkan dirinya tidak ambil hati dengan sikap netizen yang sering mengecam dan menganggap setiap individu mempunyai cara pemikiran yang berbeza.

“Bagi saya, ia membuka mata bahawa banyak hal boleh menjadi bahan andaian dalam kalangan netizen. Namun, ia membuatkan saya belajar bahawa lain individu lainlah corak pemikirannya.

“Saya tak ambil hati pun kerana itu hak mereka. Saya ada juga buat penjelasan mengenai spekulasi tercetus itu dan terpulang bagaimana mereka terus berandaian atau sebaliknya,” katanya.

Kali ini, Aisha tampil mengetengahkan elemen EDM Jawa menerusi single tersebut yang sememangnya berbeza dengan genre lagunya sebelum ini.

Selain itu, penyanyi itu juga mengakui selesa menghasilkan lagu rancak selepas menyertai satu program realiti dari sebuah stesen televisyen berbayar.

“Sejak program itu, minat saya semakin berkobar untuk buat lagu yang membolehkan saya menari. Kerana Sutera juga ramai komen suka melihat saya keluar dari zon selesa.

“Saya harap akan dapat perbanyak lagi karya rancak termasuk R&B selepas ini. Saya mahu terus mencabar kemampuan sebagai penulis lagu dan penghibur serba boleh,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain