Demi Kualiti Lakonan, Elvina Mohamad Akui Memilih Hero Gandingan

Pelakon Datin Elvina Mohamad mengakui dirinya sentiasa memilih pasangan hero yang bakal digandingkan bersama demi menjaga kualiti lakonannya.

Menurut Elvina, itu merupakan salah satu prinsip kerja seninya apabila menerima tawaran lakonan untuk membantu dirinya mendapatkan keserasian dan menjayakan watak dengan baik.

“Setiap kali menerima tawaran, perkara pertama yang akan tanya dulu ialah siapakah individu akan menjadi pasangan dalam drama bersama saya.

“Bukan nak ‘kekwat’ (berlagak) atau menjadi pelakon yang cerewet tetapi bagi saya prinsip tersebut penting kerana tak mahu perkara yang tidak seronok berlaku,” katanya.

Memetik laporan Kosmo, Elvina menganggap keserasian bersama pelakon gandingan sangat penting demi menghidupkan watak dan jalan cerita yang diimpikan oleh penulis skrip dan pengarah.

Malah, pelakon itu juga lebih memilih untuk mengundurkan diri sekiranya digandingkan dengan hero yang kurang menepati kriteria.

“Memang kedengaran agak memilih dan jika saya ‘dipasangkan’ dengan hero yang kurang menepati kriteria, saya akan memilih untuk mengundur diri berbanding meminta produksi menukar pelakon.

“Walaupun memilih, kalau boleh tak mahu sampai menutup periuk nasi orang lain. Jadi, sebelum kualiti lakonan dipertikai dan menyusahkan orang lain, lebih baik saya ambil langkah begitu,” jelasnya.

Pelakon jelita tersebut juga mendedahkan sikap memilihnya itu berpunca kerana pernah berdepan dengan aktor yang tidak mengkaji watak dan jalan cerita sebelum penggambaran.

“Tidak mengapa jika pasangan yang digandingkan bersikap sombong atau kurang bertegur tetapi saya elak berlakon dengan pelakon yang tidak ‘study’ tentang watak mereka atau yang suka ‘membunuh’ watak orang lain.

“Rasa-rasanya setiap orang boleh buat pilihan masing-masing, tidaklah nak cakap saya bagus sebab diri sendiri pun masih belajar.

“Apa pun, ini cara saya dan setiap pelakon pun mempunyai hak mereka sendiri setiap kali bekerja,” katanya.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain