Uyaina & Raja Syahiran Tak Sabar Tunggu Kelahiran Bayi Sulung

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, mengakui tidak sabar menunggu kehadiran bayi sulungnya.

Memetik laporan Utusan Malaysia, pengacara program Wanita Hari Ini TV3  itu memberitahu perasaannya ketika ini bercampur baur dan berharap proses melahirkan bayi nanti berjalan lancar.

“Saya sudah mengambil cuti sejak minggu lepas dan kini hanya duduk di rumah menunggu kehadiran bayi sulung yang dijangka dilahirkan pada 8 September ini. Insya-Allah.

“Perasaan saya bercampur baur. Saya tentunya tidak sabar mahu menyambut kehadiran anggota keluarga baru kami nanti.

“Ia penantian yang sangat mendebarkan. Setiap hari saya berteka teki, bila baby akan keluar?,” katanya.

Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata dia banyak merujuk dan bertanya mereka yang pernah melalui detik melahirkan itu sebagai persediaan.

“Pelbagai maklum balas yang saya terima kerana setiap ibu melalui pengalaman berbeza. Selagi tidak melaluinya, saya tidak tahu bagaimana.

“Saya cuba untuk berfikiran positif dan banyak berdoa semoga segala urusan dipermudahkan,” ujarnya.

Uyaina juga telah dinasihatkan doktor agar segera ke hospital jika belum menunjukkan tanda untuk bersalin apabila kehamilannya sudah mencapai tempoh matang.

“Ia bagi mengelakkan bayi berada terlalu lama dalam kandungan. Saya kena bersedia dan berharap semuanya berjalan tanpa sebarang masalah,” tambahnya.

Uyaina memaklumkan, suaminya, Raja Syahiran turut teruja melakukan pelbagai persediaan untuk menyambut kehadiran cahaya mata sulung mereka.

“Dia sediakan banyak benda untuk keperluan saya dan bayi, terutama kelengkapan selepas bersalin nanti.

“Seperti saya, dia juga berdebar menunggu kehadiran cahaya mata kami nanti,” jelasnya

Sumber: Utusan Malaysia

Khairil Khusyairi