Terlibat Dalam Kemalangan Jalan Raya, Ikmal Amry Sekeluarga Syukur Terselamat

Pelakon Ikmal Amry berkongsi detik cemas apabila dia bersama isteri dan anaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika ingin pulang ke kampung di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menuju ke Melaka, semalam.

Menerusi perkongsian di Instagram, Ikmal telah memuat naik gambar dan video keretanya yang kelihatan terbalik di tengah jalan raya dan memaklumkan keadaan mereka sekeluarga dalam keadaan yang baik.

“Mimpi ngeri yg tak sanggup ku lalui terjadi. Pahit untuk ditelan,tapi pengalaman yg menjadi pengajaran. Alhamdulillah kami sekeluarga selamat. Allah masih bagi peluang. Alhamdulillah.  Simpan sini untuk kenangan,” tulisnya.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon itu meluahkan rasa syukur apabila dia sekeluarga tidak mengalami kecederaan teruk, cuma mengalami sakit-sakit badan.

“Saya dalam perjalanan ke Melaka untuk balik kampung. Ketika saya mahu ubah laluan ke kanan, saya terlanggar sebuah kereta hingga hilang kawalan.

“Allah uji saya dan nak ganti yang lebih baik. Kereta saya hilang kawalan dan terbalik sebanyak lapan kali.

“Alhamdulillah saya sekeluarga semua okey.  Tidak mengalami sebarang luka, cuma mengalami sakit-sakit badan sahaja,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti turut meluahkan rasa syukur dan lega selepas Ikmal memaklumkan keadaanya sekeluarga terselamat daripada sebarang kemalangan jiwa.

Terbaharu, Ikmal juga telah membuat permohonan maaf kepada mangsa kemalangan yang terlibat menerusi Instagram Story.

Sumber: Harian Metro dan Instagram Ikmal Amry

Fatin Nurain