‘Nak Naik Tangga Pun Mengah’-Remy Ishak Mula Rimas?

Pelakon Remy Ishak terpaksa menambahkan berat badan demi menjayakan watak fighter dalam filem Sangkar.

Kata Remy kepada Xtra, dia berjaya menambah berat badan sehingga 85 kilogram demi memenuhi tuntutan pengarah, Kabir Bhatia. 

“Untuk filem Sangkar, saya banyak korbankan kudrat termasuklah penampilan. Sepanjang hidup saya, belum pernah berat badan mencecah sehingga 85 kg.

“Paling tinggi pun hanya 75 kilogram. Sampai di rumah, saya naik tangga pun mengah dan ada kala sesak nafas ketika tidur. Tetapi saya berpuas hati dengan pengorbanan yang dilakukan apabila melihat hasil filem ini,” katanya ketika sidang media pelancaran filem Sangkar di Petaling Jaya, semalam.

Sementara itu, Remy juga gembira dapat melakonkan watak dari kebiasaan yang penonton lihat di kaca televisyen.

“Saya cuba lari daripada ‘Remy Ishak’ yang anda selalu nampak. Tak adalah asyik berlakon cerita cinta sahaja kan?

“Memang banyak cabaran ketika berlakon dalam Sangkar. Antaranya jari patah ketika sesi latihan. Dalam masa sama, saya asyik makan sahaja untuk tambah berat badan.

“Cuma saya ambil makanan sihat dan seimbang bukan sebarangan,”katanya yang mula tertarik dengan dunia sukan seni bela diri campuran (MMA) selepas tamat penggambaran. 

Filem Sangkar merupakan kerjasama dua syarikat media gergasi Malaysia, Media Prima dan Astro, melalui bahagian penerbit filem masing-masing iaitu Primeworks Studios dan Astro Shaw bersama produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment bergabung usaha dalam menerbitkan sebuah filem MMA (Mixed Martial Arts).

Difahamkan, kos keseluruhan pembikinan Sangkar termasuk promosi dianggarkan RM3.8 juta.

Sangkar akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara serta Brunei dan Singapura pada 29 Ogos ini.

Oleh: Fas

SGMS Faida