Nama Terpalit… Nafi Dipantau Pihak Berkuasa, Ruhainies Bukan Artis Yang Disiasat AMLA

Baru-baru ini, seorang artis wanita berkulit gebu sedang dipantau pihak berkuasa dan terkait dengan siasatan AMLA gara-gara sering menayang kehidupan mewah.

Susulan kontroversi tersebut, pelakon jelita Ruhainies tampil menafikan dakwaan berkenaan selepas namanya telah telah dipetik oleh rata-rata netizen dek kerana kulitnya yang putih gebu.

ARTIKEL BERKAITAN: Artis Wanita Putih Gebu Tayang Gaya Hidup Mewah Kini Dalam Pemantauan Pihak Berkuasa, Terkait Siasatan AMLA?

Menurut Ruhainies, dia terkejut apabila ada segelintir pihak yang bertanya kepadanya tentang isu terbabit menerusi Direct Message.

“Gebu ke kita? Sebenarnya ada yang DM saya tanya awak ke sebab orang kata gebulah artislah. Alhamdulillah, bukan saya.

“Kalau boleh kalau nak hint tu, janganlah hint bagi je terus nama. Janganlah orang yang tak terlibat pun dikaitkan juga. Kalau boleh nak tulis nama, tulis. Kalau taknak tulis, takpayah tulis langsung.

“So tak bestlah sebab bila dia kata gebu ni bukannya ramai sangat yang gebu. Mungkin ada 10 orang, so mereka aim 10 orang ni sahaja. Secara tak langsung dia terpalit juga,” katanya.

Terbuka untuk mengulas isu tersebut, Ruhainies bagaimanapun enggan dirinya disalah anggap dan menimbulkan kekeliruan terhadap sesetengah pihak.

“Sudah tentu saya jawab sebab saya taknak timbulkan kekeliruan. Bila kita tak jawab, orang akan bersangka betullah kita orangnya.

“Jadi saya takut benda tu dan saya pun jawablah sebab tiada apa yang saya nak sembunyikan. Daripada dulu lagi dah lapan tahun dalam industri saya tak pernah tak jawab soalan wartawan. Saya selalu bekerjasama,” jelasnya.

Ditanyakan sama ada dirinya terkilan apabila hasil titik peluhnya dipertikaikan, pelakon drama Sayang Tak Dikenang itu tetap tenang menyatakan dirinya kini sibuk dengan urusan kerja.

Malah, dia juga tidak mampu mengelak dirinya daripada terpalit dengan sebarang kontroversi sebaliknya meminta netizen untuk siasat perkara itu lebih mendalam.

“Sejujurnya orang pun tahu saya bekerja macam mana. Back to back, Alhamdulillah saya masih relevan dalam industri. Jadi kalau ada tuduhan tu saya tak boleh nak elak.

“Tapi kita boleh siasat sekarang netizen semuanya hebat-hebat. Kalau mereka siasat mesti dapat. Cubalah siasat, kalau saya ada buat mesti mereka boleh tahu sebab tak boleh lari KL dan Malaysia ni kecil,” katanya.

Fatin Nurain