Nora Danish Jawab Isu Pengasuh Dera Kanak-Kanak

Pelakon dan juga pengacara, Nora Danish lantang bersuara tentang kes penderaan kanak-kanak yang kini semakin berleluasa, terutama di tempat asuhan mahupun taska.

Nora berharap perkara ini dapat dibendung dengan memperketatkan undang-undang berkaitan operasi pusat asuhan dan pengambilan pengasuh supaya kes penderaan terhadap golongan kanak-kanak ini dapat dikawal.

Sudah pasti masyarakat yang mempunyai nilai kemanusiaan akan tersentuh apabila membaca serta mendengar kisah kanak-kanak didera, termasuklah Nora sendiri. 

Oleh itu, hot mama ini berpendapat, kes sedemikian cukup membimbangkan dan perlu diberikan perhatian secara serius oleh pihak berkaitan.

Terbaharu, video dua guru wanita tadika mengasari kanak-kanak di bawah jagaan mereka yang tular di laman sosial turut menarik perhatian pelakon cantik ini.

“Terlalu banyak kes penderaan budak dan bayi di Taska atau tempat asuhan, kebelakangan ini. Tolonglah ketatkan undang-undang untuk membuka Taska atau pengambilan pengasuh.

“Menjaga budak atau bayi bukan kerja senang kerana ia memerlukan mental yang kuat. Jadi, semua pengasuh atau pekerja berkaitan perlu diuji dulu tahap kewarasan mereka, mengikuti kursus dan sebagainya.” Tulis Nora di IG Story laman sosialnya

 

Isteri kepada Nedim ini juga bertegas bahawa isu tersebut tidak boleh diambil mudah. Berapa ramai lagi kanak-kanak perlu menderita atau kehilangan nyawa atas sikap tidak prihatin kita! Luluh hati Nora untuk melihat kes sebegitu terus berleluasa.

“Tak sampai hati nak tengok. Kadang-kadang, saya menangis mengenangkan nasib dan kesakitan budak itu. Geram… marah semua ada.” Tulisnya.

 

Nora Danish kini sedang menjalani penggambaran drama, Bahagia Bukan Bidaan, bagi slot Samarinda, TV3, turut menampilkan pelakon hebat seperti Adi Putra, Wan Sharmila, Fauzi Nawawi, Lisdawati dan Arja Lee.

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops