Normala Samsudin Kepingin Sambung Belajar…

Bekas pengacara Puan Sri Normala Samsudin memaklumkan hasrat untuk menyambung pengajian tidak lama lagi.

Menurutnya, dia bercadang untuk kembali bergelar pelajar namun segalanya masih dalam perancangan.

“Kalau ikutkan rancangan, saya berminat mengikuti pengajian Islam di mana-mana universiti tempatan.

“Saya sendiri juga penggemar buku-buku sejarah peradaban Islam. Meskipun topik agak berat, saya akan cuba menyesuaikan jadual pengajian dengan rutin harian sebagai suri rumah tangga sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran butik Siti Khadijah di Subang Parade pagi tadi.

Akui wanita jelita berusia 55 tahun ini, dia kini dalam peringkat meneliti beberapa pusat pengajian yang menawarkan jurusan berkenaan.

“Insha Allah saya akan war-warkan apabila  sudah mendapat tempat di mana-mana universiti. Saya perlu buat banyak research sebelum memohon seterusnya mendaftar. Doakan agar semuanya dipermudahkan,” kata ibu tiga anak ini.

Dalam perkembangan lain, isteri kepada bekas menteri, Tan Sri Azmi Khalid ini bahagia melewati kehidupan sebagai suri rumah tangga.

Dalam masa sama, Normala tidak berhasrat untuk kembali aktif dalam bidang pengacaraan.

SGMS Fas