Padam Semua Gambar Di IG, Yonnyboii Ambil Masa Untuk Bertenang?

Penyanyi rap dan komposer, Yonnyboii menimbulkan tanda tanya apabila akaun Instagram miliknya dipadam semua gambar.

Menerusi Instagram miliknya, gambar profil juga hanya berlatarbelakangkan warna hitam.

Meskipun semua hantaran tiada, namun dia hanya meninggalkan dua ‘highlights’ Instagram story iaitu tentang isterinya, Nik Nazira dan warna rambutnya.

Menurut wakil syarikat pengurusan Yonny iaitu Anne Mukhtar dari Universal Music Malaysia memaklumkan penyanyi itu mahu sedikit ruang sebelum kembali berkarya.

“Insya-Allah, Yonny okay. Doakan dia baik-baik saja. Buat masa sekarang kita beri dia masa dan ruang untuk bertenang. Sampai masa nanti, dia akan muncul dan kembali semula,” ujarnya.

Berdasarkan pemerhatian, kali terakhir pelantun lagu Sakit ini memuat naik hantaran ketika berkongsi berita gembira isterinya selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka pada 20 Julai lalu.

Untuk info, kali terakhir Yonny muncul dengan single baharu adalah berjudul Flash & Dash yang berkolaborasi bersama Guccimith.

Lagu tersebut telah mencapai 200,000 tontonan di YouTube dan merupakan hasil ciptaan bersama SonaOne dan Wolfy.

Maya Basir