‘Pejam’ Satukan Khai Bahar, Adira Suhaimi Selepas 2 Tahun

Penyanyi, Khai Bahar tampil berkolaborasi bersama penyanyi bersuara lunak, Adira Suhaimi menerusi lagu berjudul ‘Pejam’. 

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Audi Mok dan Shazee ini difahamkan sudah disiapkan sejak dua tahun lalu, namun baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada 22 September lalu. 

Menurut Khai yang juga penyanyi lelaki popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 lalu, penangguhan lagu tersebut adalah disebabkan oleh beberapa perkara yang perlu diselesaikan. 

“Sebenanrya, lagu ini sudah siap lama, tapi disebabkan beberapa perkara yang perlu diselesaikan dulu jadi pelancarannya tertangguh. Alhamdulillah, selepas dua tahun, lagu ini dapat diperdengarkan kepada umum,” katanya. 

Tambah Khai lagi, dia pernah membawakan lagu ini bersama Adira secara langsung semasa ‘Konsert Nafas Cinta Khai Bahar’ pada Februari 2022 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), Bandar Utama.

Berkongsi lebih lanjut mengenai kolaborasi bersama Adira, pelantun lagu popular Luluh ini meluahkan rasa syukur atas kerjasama pertama mereka bakal menjadi sebutan ramai. 

“Lagu Pejam ini betul-betul kena dengan jiwa dan muzik yang kami bawakan. Sejujurnya, saya sangat gembira dan teruja kerana dapat berduet dengan seorang lagi penyanyi wanita hebat dan berbakat.

“Biarpun ini kerjasama pertama kami dalam lagu, segalanya dipermudahkan dan berjalan lancar. Adira seorang penyanyi yang sangat profesional dan banyak membantu. 

“Dia tidak lokek ilmu, malah kami saling bertukar pandangan dalam memberikan yang terbaik untuk lagu Pejam ini,” katanya. 

Sementara itu, Adira juga berkata berduet bersama Khai seolah-olah sudah menandakan salah satu impiannya sebagai anak seni. 

“Saya kenal Khai dengan lagu-lagunya yang tular. Malah, dia juga antara penyanyi yang cukup popular selain memiliki kualiti vokal yang bagus,” ujarnya. 

Lagu Pejam boleh didengar dan distrim di semua platform muzik digital pada 22 September ini, manakala video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’. 

Aqilah Paharuzi