Peminat Minta Ummi Nazeera ‘Unfollow’ The Rock, Ini Penjelasan Tuan Badan – “Saya Tak Terima Apa Yang Dia Buat”

Pelakon Ummi Nazeera memaklumkan dia tidak lagi mengikuti bintang terkenal Hollywood Dwayne Johnson ataupun The Rock di Instagram (IG).

Menurut Ummi atau Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin, dia menegaskan tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan The Rock apabila melabel pejuang Islam di Palestin sebagai pengganas.

“Pada mulanya saya juga tidak tahu isu The Rock itu. Saya terlepas pandang mengenai hantaran yang dibuat The Rock, ketika itu saya tengah ‘shooting’.

“Saya tidak setuju dengan apa yang dia katakan, jadi saya terus ‘unfollow’. Sebab saya tak terima dengan apa yang dia buat itu.

“Terima kasih kepada pengikut-pengikut saya kerana memberitahu saya hal itu,” katanya kepada XTRA.

Ummi diminta mengulas isu tersebut apabila ada pengikutnya di Instagram (IG) memohon Ummi untuk tidak lagi mengikuti akaun bintang Hollywood tersebut gara-gara kenyataan tersebut.

Tambah pelakon drama Rindu Kasih ini lagi, dia enggan menyokong golongan yang terang benderang memerangi Islam.

“Ini perkara yang besar, ia melibatkan nyawa kanak-kanak.

“Saya tak mahu menyokong orang yang menyokong perkara yang tak baik. Jadi saya pun tak mahu ‘follow’ dia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ummi juga berkata dia sering mengikuti perkembangan konflik di Gaza sehingga pernah merasakan sedih yang teramat.

“Sebenarnya saya sudah mengikuti konflik Gaza ini dah beberapa tahun dahulu, dan ketika beberapa konflik yang tercetus beberapa tahun lalu dan ramai yang mengharapkan Hamas menang.

“Tiap-tiap hari saya mengikuti perkembangan konflik itu dan perkara itu buat saya ‘down’. Sebab hampir setiap tahun kita kena cakna, terutamanya pada bulan Ramadan.

“Hampir setiap tahun saya ikuti, dan apa yang jadi pada tahun ini, saya tetap mengikuti perkembangan terkini cuma saya cuba buat yang terbaik untuk pastikan perkara itu tidak terlalu terkesan pada saya. Sedih sangat.

“Perkara itu pernah terjadi pada saya. Tiada negara yang mampu tangani, dan ia buat saya sangat ‘down’. Tahun ini saya kena kawal, saya tetap kena kerja, kita boleh buat duit dan boleh tolong mereka,” kongsi Ummi.

Khairil Khusyairi