Categories: FilemHiburan

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah Bakal Ditayangkan Pada 11 Januari, Nama Pengarah Masih Dirahsiakan?

Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bakal ditayangkan pada 11 Januari tahun hadapan namun pengarah filem tersebut masih dirahsiakan.

Menurut pemilik penerbit, Studio Kembara Sdn Bhd iaitu Abdul Rahman Md Dali memaklumkan nama pengarah akan diumumkan pada hari tayangan perdana yang akan berlangsung pada 2 Januari depan.

“Saya buat keputusan untuk tak umumkan lagi nama pengarah hari ini. Tapi, saya akan umumkan ketika pelancaran tayangan perdana,” katanya semasa ditemui di sidang media trailer filem Pendekar Awang di Cyberjaya, semalam.

Disoal mengenai pembabitan bekas pengarah yang digugurkan iaitu Areel Abu Bakar, hanya sebahagian hasil kerjanya digunakan untuk filem yang menelan kos antara RM10 juta hingga 15 juta ini.

Tambah Abdul Rahman, Areel yang sebelum ini memaklumkan sudah menghasilkan 90 peratus kandungan filem itu tidak hadir untuk berbincang.

“Memang kebanyakan penggambaran yang dah dibuat itu sangat panjang dan banyak. Tapi, kebanyakannya kita tak gunakan.

“Saya pun tak pasti sebab kita ada panggil dia untuk berjumpa lebih kurang empat bulan lalu, sebelum blok kedua (penggambaran), tapi dia tak datang.

“90 peratus itu mungkin kiraan dia. Tapi, bagi kita, kita ada penilaian lain,” jelasnya.

Terdahulu, Areel akui terkilan apabila namanya digugurkan sebagai pengarah selepas filem Pendekar Awang sudah siap untuk disunting tanpa alasan kukuh.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan ‘spin off’ daripada watak Awang dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Filem ini dibintangi oleh Fattah Amin, Fazura, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Maya Basir