Insiden ‘Ngeri’ Di Lokasi, Puteri Aishah Kongsi Pengalaman Cemas!

Pelakon meningkat naik, Puteri Aishah mengaku cukup berdebar menanti reaksi penonton filem Pulang yang bakal menjengah di seluruh pawagam negara selepas Aidilfitri nanti!

Maklum saja, ini merupakan kali pertama pelakon berusia 24 tahun beraksi di layar perak.

“ Jujur saya katakan, saya tak tahu yang saya memegang watak utama selepas menjalani sesi casting sekitar dua tahun lalu.

“ Pada mulanya, saya takut. Iyalah, filem kan…namun selepas dua minggu menjalani casting, nama saya dipilih,” katanya yang ditemui di Majlis Pelancaran novel Pulang yang berlangsung di Tanjung Lounge Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Bercerita tentang pengalaman ketika menjalani penggambaran filem Pulang, beliau memberitahu banyak pengalaman yang dilalui.

“ Antaranya, pengalaman belajar bersama Cikgu Fatimah Abu Bakar dalam menjiwai watak. Begitu juga dengan Remy Ishak, beliau banyak memberi tunjuk ajar.

“ Orang cakap dia garang tapi dia okay. Remy juga berpesan pada saya untuk lakukan sehabis baik memandangkan ini adalah sebuah naskah hebat (filem). Dia tegas tapi dia okay,” katanya tersenyum.

Lebih menarik, antara pengalaman  yang sukar dilupakannya adalah ketika di set penggambaran di sebuah muara di Terengganu.

“ Ketika itu saya berada di atas sampan bersama seorang lagi pelakon. Tiba-tiba kami terdengar bunyi pelik (air berkocak) tetapi saya buat macam biasa dan enggan berfikir bukan-bukan.

“ Selepas selesai dan naik ke darat, saya dimaklumkan, penampakan seekor buaya di situ. Bayangkan bagaimana takutnya saya ketika itu, Alhamdulillah… semuanya selamat dan mujur tiada apa-apa,” katanya kepada xtra.com.

Memenuhi tuntutan menjiwai watak sebagai Che Thom, beliau telah menjalani tempoh rehearsal selama sebulan.

“ Saya berikan seratus peratus persembahan terbaik untuk watak dalam Pulang. Watak kali ini lain sedikit memandangkan filem berlatar belakang zaman 40 an. Dari segi teknik solekan, pertuturan, memang ada kelainan. Yang pasti, Pulang wajib ditonton oleh semua,” akhirinya.

SGMS Faida