Categories: HiburanSelebriti

Penuh Debaran, Aksi Luar Biasa…SANGKAR Di Pawagam 29 Ogos Ini!

Pengarah prolifik Kabir Bhatia hadir dengan sebuah naskah aksi drama yang bakal menemui penonton mulai 29 Ogos di seluruh 143 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei. Tayangan perdana SANGKAR diadakan di pawagam mmCineplexes, eCurve Mutiara Damansara. Filem SANGKAR juga menampilkan 4 penerbit gergasi; Media Prima dan Astro – melalui bahagian penerbitan filem masing-masing, Primeworks Studios dan Astro Shaw bersama produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

SANGKAR juga melihat kembali gabungan antara Kabir Bhatia dan penulis skrip Mira Mustaffa yang pernah menghasilkan filem hebat seperti Cinta, Sepi, Nur Kasih The Movie dan Pulang. Buat pertama kalinya, penonton dapat menikmati sebuah karya mengagumkan daripada mereka berdua dalam filem MMA (Mixed Martial Arts) pertama di Malaysia, SANGKAR.

Menurut Kabir, “Ketika saya dihubungi untuk mengarahkan filem SANGKAR, saya difahamkan filem ini membabitkan bidang sukan lasak dan mempunyai stru ktur penceritaan tersendiri. Saya harus menggali ke dasar dan mencari apa yang membuatkan filem sukan lasak boleh diterima oleh para penonton. Kita tahu babak pertarungan adalah sangat penting, tetapi elemen yang menghubungkan kesemua watak dan penceritaan adalah bukan hanya sekadar pertarungan sahaja malah lebih pada itu.

“Saya mengimbas semula semua filem-filem yang bertemakan sukan lasak yang terbaik pernah saya tonton seperti Rocky dan Ali. Apa yang mereka ketengahkan bukanlah sekadar di dalam gelanggang itu sendiri, ianya lebih kepada kepercayaan diri sendiri dan hubungan dengan orang yang tersayang.

“Di sebalik perlawanan hebat di dalam gelanggang yang dipaparkan di dalam SANGKAR, apa yang kami cuba ketengahkan adalah tentang dua orang lelaki yang berjuang di luar gelanggang untuk melepaskan diri dari belenggu dari anasir negatif dalam dirinya sendiri. Mereka berubah ke arah yang lebih baik dengan berjuang untuk diri dan maruah mereka. Pihak penerbit juga bersetuju dan mahu ketengahkan lagi mesej dan nilai positif ini”.

Tambahnya lagi, “Cabaran utama saya adalah untuk menggarap sesuatu yang kisah yang luar biasa dan mempunyai sebuah penceritaan yang kuat. Penulis skrip dan tenaga produksi juga memainkan peranan penting dalam menghasil kan idea yang cukup bernas dan segar di mana dua karektor mempunyai cara dan kehidupan yang berbeza tetapi bertemu dalam satu situasi di luar gelanggang yang tidak dijangka dan itulah merupakan nadi utama kepada SANGKAR,” katanya.

Apabila berbicara tentang harapan seorang sutradara, Kabir menyifatkan seorang pengarah sudah tentu mempunyai harapan yang terlalu tinggi dalam apa jua naskah yang dihasilkan.

“Namun saya menyerahkan kepada penonton untuk menilai dan paling penting saya mengharapkan penonton terhibur dengan filem SANGKAR disamping memberi pengajaran yang baik untuk dikongsi bersama. Para penonton harus menonton filem ini kerana ianya sebuah filem yang bagus dari hasil kerjasama pelakon dan produksi yang hebat.”

SANGKAR dibintangi oleh Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray Johara, Adam Mika, Aman Graseka, Carliff Carleel dan Andy Teh dengan penampilan khas oleh atlet profesional MMA iaitu James “Sledgehammer” McSweeney. Pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem ini adalah seperti Niezam Zaidi, Zarul Al-Bakri, Emelda Rosemila, Rashid Salleh dan Peter Davis.

Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Puan Nor Shahila Harun Shah berkata, “SANGKAR adalah sebuah filem aksi-drama luar biasa yang sangat menarik dan mengujakan. Dari segi jalan penceritaan pula, ianya sangat mengagumkan dalam mewujudkan keserasian semua watak dan adegan pertarungannya yang sememangnya sengit dan mendebarkan.

Gabungan hebat dua orang “Hero Malaya” Zul Ariffin dan Remy Ishak yang tidak boleh disangkal lagi begitu juga dengan Mira Filzah akan memberikan lagi jiwa kepada filem hebat ini.

Perjalanan kerohanian yang penuh inspirasi, pengorbanan dan harapan, membuatkan lagi filem ini cukup dengan rencah kehidupan termasuk dari sisi keinsafan dan kekeluargaan. Filem yang sangat bagus untuk tatapan seisi keluarga!”

Dengan tayangan SANGKAR di Malaysia dan negara serantau, diharap filem ini dapat memberikan impak yang positif kepada penonton di Malaysia dan kami juga yakin filem ini dapat menambat hati penonton antarabangsa dengan nilai penceritaan yang universal berdasarkan kekeluargaan, pengorbanan, persahabatan dan perjuangan.

SGMS Faida