Penyanyi Apo Kono Eh Jang Meninggal Dunia

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Apo Kono Eh Jang, Datin Mastura Ismail, 65, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser ovari tahap empat di kediamannya di Taman Cheras Idaman, pada jam 8.39 malam pada Rabu.

Memetik laporan Berita Harian, berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anak saudaranya yang juga penyanyi Oja.

“Arwah baru sahaja dikesan mengidap kanser ovari tahap empat, beberapa bulan lalu. Sebelum itu, arwah memang selalu mengadu sakit pada bahagian perut, tetapi tidak mendapatkan rawatan.

“Sebaliknya, arwah hanya melakukan rawatan kampung. Bagaimanapun, arwah hanya bersetuju membuat pemeriksaan apabila puas dipujuk.

“Namun, keadaan kesihatan arwah semakin merosot sejak sebulan lalu apabila bahagian perut semakin membesar.

“Arwah juga pernah beberapa kali menjalani pembedahan membuang cecair pada bahagian perut,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau bersyukur apabila sempat membacakan surah yasin, sebelum arwah pejamkan mata buat selama-lamanya.

“Selepas beberapa hari mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN), doktor menasihatkan anggota keluarga membawa arwah pulang selepas mendapati keadaannya semakin lemah.

“Arwah dibawa pulang kira-kira jam 3 petang tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri. Selepas selesai urusan kerja, saya bergegas ke rumahnya untuk menziarah.

“Baru membaca beberapa ayat, arwah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang tenang,” ujarnya.

Difahamkan, jenazah akan dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Taman Rakan Cheras sebelum dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long.

Allahyarham Mastura yang juga seorang balu meninggalkan dua cahaya mata dan dua cucu.

Arwah mula mencipta nama lagu duet menggunakan loghat Negeri Sembilan, Apo Kono Eh Jang! yang dinyanyikannya bersama Ally Noor berjaya mencetuskan fenomena sekitar 1980-an.

 

Sumber : Berita Harian

Salma Syahbuddin