Perangai Netizen Semakin Menjadi-Jadi, Jasmin Hamid Akui Terguris

“Beginikah cara orang beriman bersuara?,” tulis pelakon Jasmin Hamid di laman Instagramnya selepas ditegur seorang netizen berhubung aurat wanita itu.

Terdahulu, pelakon wanita ini memuat naik perkongsian mengenai malam Lailatul Qadar.

Menerusi perkongsian itu, Jasmin meluahkan rasa sedih apabila dirinya dilihat seperti tidak layak berkongsi tentang Islam hanya disebabkan tidak bertudung.

“ Adakah orang yang bertudung saja layak dekat pada Allah? Orang yang tak bertudung dan dianggap jahil macam saya tak layak belajar mendekatkan diri pada Allah sampai bila-bila?” soalnya.

Jasmin memuat naik paparan skrin mesej netizen yang mempersoalkan dia masih tidak memakai tudung biarpun umur semakin meningkat di laman Instagramnya.

Menurut Jasmin, dia tidak ada niat untuk mengaibkan mana-mana individu namun hatinya terguris disebabkan kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya.

“Selama ni saya hanya diam dan sekat netizen yang negatif tapi makin menjadi-jadi pula netizen sekarang. Sampai sanggup mengguris perasaan saya!

“Hanya sebab isu tudung, apa yang kamu sakit hati sangat ya? Saya tetap padam nama pengirim mesej negatif ni sebelum kongsi sebab tak nak aibkan sesiapa,” katanya.

Jasmin juga memohon agar netizen menjaga adab ketika berkata-kata.

“ Jangan takbur dengan ilmu yang kamu ada kerana Allah Maha Mengetahui. Jaga adab bila masuk rumah orang kalau kamu rasa kamu penuh Iman di dada,” katanya.

SGMS Faida