Perbicaraan Saman Fitnah Zarina Anjoulie Lawan Fara Mendoza Mula Dibicara Esok

Kes saman fitnah yang difailkan oleh pempengaruh dan pelakon Fara Mendoza atau nama sebenarnya, Norfaralinah Md Yunus terhadap aktres Zarina Anjoulie berhubung penyebaran gambar dan video yang didakwa berunsur fitnah yang didakwa dimuat naik oleh defendan di laman media sosial Instagram akan ditentukan melalui perbicaraan di Mahkamah Sesyen Seremban bermula esok.

Perbicaraan akan berlangsung selepas kedua-dua pihak gagal mencapai kata persetujuan agar kes tersebut diselesaikan secara mediasi.

“Perbicaraan akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 20 dan 21 September bermula pukul 2.30 petang pada hari Selasa, dan pukul 8.30 pagi pada hari Rabu dengan Fara Mendoza akan menjadi saksi pertama,” kata Nurul Hafidzah Hassan dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors menerusi sebuah kenyataan media.

Hafidzah bertindak selaku peguam utama selebriti media sosial itu.

“Anak guam, Zarina cuba menyelesaikan krisis undang-undang ini secara mediasi namun kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat,” tambah Hafidzah.

Zarina atau nama sebenarnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, sebelum ini, pada tahun 2020, berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan.

Ini berikutan dakwaan yang beliau tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik telah membela nasibnya.

Difahamkan yang peguam terdahulu pelakon itu telah diserang strok dan firma guaman terbabit telah pun ditutup.

Setelah mendapat pengesahan dari mahkamah yang terdapat saman dan penghakiman bagi kesnya, Zarina telah melantik peguam Hafidzah untuk mewakilinya.

Melalui pasukan peguam yang baru, Zarina membuat tuntutan balas ke atas saman sivil Fara.

Zarina menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara daripada membuat kenyataan-kenyataan fitnah pada masa hadapan.

Selain itu, Zarina menuntut agar Fara menarik balik kenyataan-kenyataan fitnah yang telah dibuat dan membuat permohonan maaf.

Beliau juga menuntut kos tindakan dan lain-lain relif yang dianggap sesuai dan bermanfaat oleh mahkamah.

Hafidzah berkata, Zarina menafikan dakwaan plaintif dan percaya sebenarnya plaintif yang telah memfitnah beliau.

“Kesemua fakta akan dibuktikan semasa hari perbicaraan,” ujar Hafidzah.

Fatin Nurain