Pernah Berhasrat Tak Mahu Sertai AJL 37, Aina Abdul Puas Raih Gelaran Juara.. Bakal Buat Konsert 3.0 Skala Besar

Penyanyi tersohor, Aina Abdul mengakui pernah terlintas untuk tidak menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 selepas hanya meraih Vokal Terbaik di AJL-36 menerusi lagu Sepi.

Aina memberi pendedahan tersebut menerusi sebuah video temu bual di Tonton Soundstage AJL 37.

“Sebenarnya selepas AJL 36, saya dah buat keputusan saya tak nak masuk AJL untuk tahun ini. Sesuatu perkara membuatkan saya ubah fikiran. Saya rasa macam masih ada lagi bakat yang saya tak tunjuk di pentas AJL. Jadi sebab itu saya membuat keputusan untuk sertai semula AJL 37.

“Memang banyak duka lara terutamanya selepas bila saya rasa dah bagi sepenuhnya 100 peratus, bila ada setengah pihak faham dan ada yang tidak faham membuatkan saya rasa berputus asa,” katanya dalam program tersebut.

Susulan itu, XTRA sempat menemuramah pelantun lagu Semalam berhubung pengakuannya itu yang tidak menafikan luahan hati tersebut.

Artikel Berkaitan: AJL 37: Mencari Asal Usul ‘Aina Abdul’ Yang Jauh Menghilang Antara Persediaan Terus Hidup – “Saya Rasa Tak Jujur…”

Artikel Berkaitan: AJL 37: Dedikasi Persembahan Terus Hidup Untuk Arwah Bapa, Aina Abdul Dedah Makna Sebenar Disebalik Tema Kepulan Awan – “Sebenarnya Ada 3 Transisi Berbeza…”

Menurut Aina, dia hanya mahu meraih kepuasan selepas tiga tahun bertanding di anugerah berprestij itu.

Menafikan dirinya tidak bersyukur atas mendapat kemenangan Vokal Terbaik di AJL 36 menerusi lagu Sepi, jelas Aina, dia hanya mahu bakatnya lebih diiktiraf sebagai seorang penulis lirik dan penggubah lagu.

“Saya nak bagi kepuasan yang saya tak dapat rasa selama tiga tahun itu. Memang saya ada buat decision untuk tak nak masuk sebenarnya kerana sebagai penulis lirik, mesti kita nak lagu terbaik menang tiga teratas.

“Saya bersyukur pada malam itu (AJL 36) menang vokal terbaik, tapi saya tetap rasa macam perlu untuk sertai sekali lagi (AJL 37). Tapi, saya tak tahu sama ada ini kali terakhir ataupun tidak… segalanya saya bergantung kepada rezeki.

“Cuma apa yang saya katakan, saya hanya mahu memberi kepuasan pada diri sendiri,” katanya.

Mendedahkan perancangannya selepas bergelar Juara AJL 37, Aina berkata dia berhasrat untuk melakukan konsert solo 3.0 berskala besar di tiga tempat.

“Ini adalah kemenangan yang dicari. Orang kata menang itu bukan segala-galanya tetapi di saat ini, dengan team saya seramai ini mereka hanya mahu melihat saya berjaya.. Kadang kala semangat mereka melebihi diri saya sendiri.

“Saya menang untuk mereka juga sebab usaha mereka sangat luar biasa sampai tak tidur. Dengan kemenangan yang diraih, kami boleh merancang sesuatu yang besar sebab saya dalam perancangan untuk buat konsert solo 3.0 hujung tahun ini di tiga tempat.

“Konsert kali ini berskala besar.. jadi kami punya end game adalah tempat pertama dah confirm di Johor Bahru (JB), tempat kedua belum confirm dan tempat ketiga akan buat di Axiata Arena.

“Persediaan buat konsert di Axiata Arena banyak liku-liku dari segi mental, fizikal, financial dan semuanya,” jelasnya.

Kejayaan lagu Terus Hidup ciptaan sepenuhnya membuahkan hasil lumayan  buat Aina yang berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 bersama trofi selepas bergelar Juara AJL 37.

Selain itu, Aina turut merangkul gelaran Vokal Terbaik AJL 37 dan membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Aqilah Paharuzi