“Orang Kata Saya Nak Simpati Tapi…” – Genap 3 Tahun, Fad Masih Terkesan Dengan Pemergian Abam

Genap tiga tahun pemergian pelawak Allahyarham Abam, penyampai radio dan pelawak Fad meluahkan bahawa kehilangan sahabat seperjuangannya itu masih meninggalkan kesan yang mendalam.

Memetik laporan Gempak, Fad atau nama sebenar Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 32, mengakui kenangan susah senang bersama arwah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan.

“Orang akan cakap ‘ah kau menangis la’ tapi saya kongsi apa yang saya lalui bersama arwah. Saya kongsi lapan ke sembilan tahun perjalanan kami dari bukan sesiapa la.

“Apa yang kongsi di TikTok, itulah yang saya rasa. Masa di MLM, orang kata saya sengaja nak simpati, menangis atas pentas. Tapi orang tak faham.

“Sepanjang lapan tahun, setiap tiga bulan hari-hari mengadap dia, bila naik pentas berdua saja, dia tak ada tu yang buat saya terasa. Orang hanya nampak tiga minit kami di atas pentas.

“Orang tak nampak dekat luar lapan tahun kami macam mana. Kami sampai tahap susah dalam keluarga pun kami kongsi. Saya tahu masalah Abam, Achey dan begitu juga mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fad masih dalam keadaan tidak percaya yang sahabatnya itu sudah tiada sehingga kini.

“Tiga tahun, walaupun untukmorang lain agak lama tapi pada saya, masih teras baru lagi. Saya masih tak percaya dan rasa dia masih ada lagi,” katanya kepada Gempak.

Untuk info, Abam telah kembali ke rahmatullah pada 9 Februari 2020 akibat demam panas.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari