Pernikahan Dengan Watie Terima Tajaan Lebih RM1 Juta, Shuib Umum Tiada Majlis Resepsi

Pelakon dan pelawak Shuib mengumumkan tiada sebarang majlis resepsi untuk perkahwinannya bersama pasangannya, Watie Hanifah yang akan berlangsung pada 23 Jun ini.

Menurut Shuib, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama dan hanya melangsungkan majlis khatam, berinai dan akad nikah.

“Untuk majlis pada 23 Jun nanti, akan ada majlis khatam Al-Quran, berinai dan majlis akad nikah. Tetapi, takkan ada majlis resepsi kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

“Majlis ini kami adakan sederhana sahaja, tetapi, saya nak majlis akad nikah itu akan ada pelamin. Jadi, dapatlah bergambar bersama keluarga.

“Watie adalah anak dara dan ini perkahwinan pertamanya. Jadi, saya nak ini menjadi satu kenangan indah buat dia juga. Kami nak raikan semua orang terutamanya keluarga,” katanya.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Shuib ketika ditemui di sesi sidang media Walimatulurus Shuib dan Watie, di Astro Bukit Jalil, hari ini.

Selain itu, Shuib juga memaklumkan mereka telah mendapat tahaan mencecah lebih RM1 juta sempena majlis itu.

“Untuk penajaan, ia membabitkan majlis khatam Al-Quran, berinai sehinggalah akad nikah. Nilainya mencecah lebih RM1 juta termasuklah barangan kemas.

“Tetapi, bukanlah semua kos ditaja sebab saya ada keluarkan kos sendiri juga,” jelasnya.

Shuib juga menyatakan majlis itu hanya terhad kepada 600 tetamu dan akan diadakan di Putra Glass House, Putra Height.

Majlis ini juga akan ditayangkan dalam siri mini terbaharu yang akan merakamkan detik manis serta perjalanan cinta Shuib dan Watie, Walimatulurus Shuib dan Watie.

Program tiga episod itu akan menemui penonton secara esklusif bermula 24 Jun, 9 malam di Astro Ria.

Terdahulu, pasangan Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Fatin Nurain