Persaingan Sengit! Ini Ramalan Milik Siapakah Bintang Paling Popular ABPBH 35!

Malam ini bakal terjawab siapa yang bakal membawa pulang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.

Bahang kehangatan ABPBH 35 kian terasa apabila 12 kategori utama dan tujuh kategori sampingan, Ekstra! yang dipertandingkan pada edisi kali ini pastinya akan didedahkan keputusannya malam nanti.

Umum mengetahui proses pemilihan calon Top 5 bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian peminat, manakala 30 peratus lagi penilaian juri profesional, yang kali pertama diperkenalkan penganjur.

Jadi, siapakah yang bakal merangkul trofi Bintang Paling Popular edisi kali ini? Pasti ramai yang berteka-teki malah pentas ABPBH juga cukup sinonim dengan elemen kejutan

Amat sukar sebenarnya mahu diramal siapa. Jadi XTRA senaraikan ramalan-ramalan calon yang bakal mengenggam trofi yang menjadi rebutan ramai itu.

Di sebalik semua itu, ada kemungkinan melihat sama ada Juara Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), Aina Abdul bakal merangkul trofi tersebut. Tahun 2023 dianggap tahuan tuah buat pelantun lagu Terus Hidup itu.

Namun, bakat baharu seperti pasangan drama popular, Meerqeen dan Anna Jobling turut memberi saingan apabila drama fenomena Melur Untuk Firdaus sohor di dalam dan luar negara.

Watak Barkoba yang dimainkan pelakon dan pelawak, Bell Ngasri dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa nyata memberi fenomena kepada penonton sekali gus melayakkan dirinya di kelompok 10 artis undian tertinggi.

Mampukah ABPBH 35 kali ini menyaksikan kembali Bintang Paling Popular 34 iaitu Janna Nick mengulangi kejayaannya buat julung kalinya.

Fuh! Berdebar bukan, pastinya kejutan akan terjadi kerana beberapa jam saja lagi apa saja kemungkinan keputusan boleh terjadi.

Mungkin kebarangkalian untuk Ernie Zakri, Zul Ariffin, Siti Saleha contohnya akan memberi saingat mengejut.

Siapa agaknya ramalan anda?

Bertemakan Ekspresi Legasi Seni, ABPBH 35 disiarkan secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai jam 9 malam dan karpet merah ABPBH 35 jam 8 malam di TV3 dan strim langsung melalui platform Tonton.

Khairil Khusyairi