Persembahan Penuh Bertenaga & Gamit Memori, Konsert Sulung Ruffedge Di DFP Mempesonakan Peminat

Konsert Ruffedge yang diberi nama Ruffera telah berlangsung dengan meriahnya di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu lalu.

Ruffedge merupakan sebuah kumpulan R&B dan hip-hop yang popular di Malaysia sejak tahun 1998 dan konsert Ruffera ini merupakan persembahan sulung mereka di DFP serta diiringi oleh kumpulan pemuzik yang dipimpin oleh pengarah muzik, Datuk Acis.

Konsert yang berlangsung selama satu jam setengah itu menyajikan sebanyak 12 buah lagu popular kepada penonton.

Antaranya ialah Tiada Lagi Cinta, Seperti Mereka, Lemas, April Shower, Matinya Sebahagian Jiwa, Papa Jahat, Medley (Azura, Suraya, Rozana & Tipah), No One Else Come Close, Belenggu, Sabar Menanti, Still dan Bila Rindu.

Lebih menarik, setiap ahli kumpulan Ruffedge turut membuat penampilan solo di atas pentas dengan menyanyikan lagu yang ditujukan khas untuk orang tersayang.

Bukan itu sahaja, Ruffedge juga menyanyikan sebuah lagu baru berjudul Belenggu yang merupakan lagu yang dicipta ketika berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk album baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kumpulan yang dianggotai oleh Cat Farish, Azan Addin, Zain Hamid, Sein dan Mode itu menerima standing ovation daripada penonton kerana kagum dengan semangat dan mood yang mereka berikan walaupun sudah lama tidak membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

Bagi penutup tirai, Ruffedge mendendangkan lagu bertajuk Khayalan yang turut dinyanyikan bersama-sama dengan penonton.

Konsert ini secara tidak langsung dapat mengubati rindu peminat terhadap Ruffedge sekaligus dapat mengimbau memori awal kemunculan mereka sebagai kumpulan R&B dan hip-hop terkenal Malaysia.

Ruffedge turut memaklumkan bahawa konsert ini bukan yang terakhir dan berharap mereka diberikan lagi peluang untuk mengadakan konsert pada masa akan datang bagi memuaskan hati peminat.

Atiqah Johari