Persiapan Dah 50 Peratus, Shuib & Watie Dedah Tema Majlis Perkahwinan – “Ada Dua Tema Sebenarnya…”

Lebih kurang sebulan sahaja lagi pelawak Shuib bakal mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Watie Hanifiah selepas mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Terbaharu, pasangan tersebut berkongsi persiapan terkini hari bahagia yang kini sudah hampir 50 peratus siap.

Menerusi temu bual bersama sebuah program TV baru-baru ini, Shuib dan Watie turut mendedahkan tema majlis perkahwinan mereka.

“Masih dalam perancangan.

“Ada dua tema sebenarnya, yang pertama adalah tema yang berkonsepkan taman. Namun bahagian dalam kami masih berbincang sebab ada dua bahagian iaitu luar dan dalam.

“Insya-Allah sederhana sahaja,” ujar mereka teruja.

Bergelar tunang kepada seorang selebriti, Watie bersyukur diberi sokongan yang positif daripada Shuib dan juga anak-anak Shuib.

“Boleh kawal sebab ada ‘support system’ yang bagus.

“Kecaman orang dan saya baca komen-komen tersebut tapi dia macam angin lalu saja. Macam itu sahaja, saya tak fikir sangat.

“Anak-anak selalu pesan supaya saya jangan baca komen. Saya juga pernah sekali menangis pada awal perkenalan kami, ketika itu saja, sekarang tidak lagi,” ujar Watie.

Pada masa sama, pasangan ini turut berasa gementar biarpun diulit rasa teruja dan berharap semuanya berjalan dengan lancar.

Untuk info, Shuib dan Watie bakal melangsungkan pernikahan pada 23 Jun depan.

Shuib pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwau Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan 3.

Khairil Khusyairi