Pertama Kali Muncul Berhijab di Fashion Show, Penampilan Nasha Aziz Pukau Penonton

Kemunculan supermodel dan pelakon popular, Nasha Aziz pada pertunjukan fesyen muslimah Munawwareen baru-baru ini ternyata memukau sesiapa sahaja yang memandangnya.

Selain mempunyai aura yang luar biasa, Nasha, 51, yang beraksi solo di pentas peragaan itu tampil anggun berhijab buat pertama kalinya di pertunjukkan fesyen sambil menggayakan rekaan jubah khas rona hijau zamrud bertatahkan jemeki sebagai perincian pada busana.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT bagi dan berterima kepada pihak Munawwareen terutamanya Datin Aliza Abu Bakar kerana memberi kepercayaan kepada saya.

“Saya hanya melakukan tugas dengan sehabis baik apabila diberikan tanggungjawab. Apa sahaja rezeki yang datang, saya terima.

“Bagi saya, dalam apa sahaja yang kita lakukan, buatlah sepenuh hati. Hargailah setiap momen, kreativiti, keindahan dan usaha masing-masing,” katanya.

Nasha yang tidak pernah lekang dengan senyuman ketika ditemui berkata, rezeki tetap berpihak kepadanya walaupun mendapat jemputan untuk menghadiri pertunjukan fesyen muslimah Munawwareen dalam masa yang singkat.

“Saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat. Walaupun dijemput satu minggu sebelum acara, saya bersyukur dapat bersama pasukan yang hebat ini,” jelasnya.

Nasha ditemui pada sidang media pertunjukan fesyen muslimah Munawwareen yang diadakan baru-baru ini.

 

Pada acara pertunjukan fesyen Munawwareen: Sempurnakan Hijrah Cinta yang dihadiri 300 tetamu itu, sebanyak 21 rekaan dengan jumlah 36 pakaian diperagakan penuh elegan merangkumi segmen Hawa 1 (koleksi telekung), Hawa 2 (koleksi jubah dan abaya), Rijal (jubah dan kurta lelaki) dan Hawa 3 (koleksi jubah dan dres eksklusif).

Menurut Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn Bhd, Datin Aliza Abu Bakar, 21 rekaan fesyen yang diperkenalkan meliputi fesyen pakaian wanita, segmen lelaki dan kelengkapan untuk bersolat.

“Kami meraikan perjalanan baharu dalam fasa peralihan endemik dengan menganjurkan pertujukan fesyen pad asemua.

“Walaupun dua tahun beroperasi dan pandemik telah menjejaskan perniagaan maka, banyak perkara terpaksa ditangguhkan. Namun, selepas membuat penstrukturan semula, ini adalah waktu terbaik untuk melaksanakan kembali perancangan yang telah dibuat sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, acara ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air seperti, Tomok, Syamel, Ernie Zakri, Hawa Rizwana dan Rozita Che Wan.

Salma Syahbuddin