Pertikai Kredibiliti Vokal, Shila Amzah Mohon Netizen Berhenti Melaga-lagakan Orang -“Jika Anda Peminat Sebenar, Baik Hentikan!”

Penyanyi Shila Amzah mengakui tidak mahu peminat saling bertelagah gara-gara ada yang membandingkan kualiti vokalnya dengan mana-mana penyanyi lain dalam industri sama sehingga boleh mencetuskan perbalahan baik kepada penyanyi itu sendiri dan juga kepada peminat.

Menurut Shila, 32, perbuatan sebegitu sama sekali tidak boleh diterima dan dimaafkan apatah lagi bila dilakukan demi mahu kelihatan lebih baik dimata orang lain.

“Berhenti melakukan perbuatan sebegini. Saya tak boleh maafkan orang bercakap perkara tidak elok hanya kerana mahu menjadikan orang lebih baik.

“Jika anda adalah peminat sebenar, hentikan semua ini segera. Marilah kita raikan semua bakat, kasih sayang dan tiada kebencian,”katanya.

 

Sebelum ini, terdapat segelintir peminat yang bertelagah dilaman sosial Twitter apabila ada yang mempertikaikan kredibiliti vokalnya sebaik sahaja membuat persembahan pada sebuah program nyanyian yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen berbayar baru-baru ini.

Malah, ada juga beberapa pandangan yang diberikan netizen kononnya, Shila masih belum mencapai tahap nyanyian sempurna (Pitch perfect) sepertimana yang boleh dilakukan oleh penyanyi, Erni Zakri, Aina Abdul mahupun, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

 

Salma Syahbuddin