“Pilih Circle Yang Betul Tak Bermakna Saya Perlu Buang Kawan”- Bergaul Dengan Agamawan, Zizi Kirana Mengaku Kekal Istiqamah Bukan Perkara Mudah

“Benar ada ketika kita lalai dan sebab itu saya selalu ingat sebab apa yang membuatkan saya terdetik untuk berhijrah”.

Demikian respons penyanyi Zizi Kirana ketika ditanya mengenai proses perjalanan hijrahnya dan perkara yang membuatkan dia kekal istiqamah dalam penampilannya.

Menurut Zizi atau nama penuhnya, Nur Fazilah Mad Tahil, 38, selain tahu tujuan asal penghijrahan, dia juga sering mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar dari ustazah dan mereka yang arif dalam bidang agama.

Malah, nasihat untuk memilih ‘circle’ yang betul dan mencari orang sekeliling yang sama-sama mahu menuju ke arah kebaikan adalah faktor penting untuk kekal istiqamah dari segi penampilan mahupun hijrah yang dilakukan.

Pun begitu, Zizi mengakui itu tidak bermakna dia ‘membuang’ atau menjauhi kawan-kawan lama yang masih tidak mengenakan hijab.

“Bukan tak pernah orang tanya saya macam mana nak terus kekal istiqamah? Susah nak jawab soalan itu.

“Saya pun rujuk dengan guru-guru dan para ustazah dan rata-rata mereka menasihatkan supaya saya pilih ‘circle’ yang menuju jalan baik.

“Tapi, itu tidak bermakna saya perlu buang kawan. Sebaliknya, cari persekitaran itu supaya kekal berada di jalan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Zizi juga bersyukur apabila dia tidak pernah terdetik untuk membuka hijabnya sejak tampil dengan imej itu pada tahun 2021.

“Saya sentiasa ingat niat awal saya berhijrah dulu. Benar ada ketika kita lalai dan sebab itu saya selalu ingat sebab apa yang membuatkan saya terdetik untuk berhijrah.

“Dan saya bersyukur setakat ini saya tidak pernah terdetik untuk buka tudung bahkan suami saya selalu mengingatkan agar kami sama-sama dekatkan diri dengan agama,” jelasnya.

Mengulas lanjut,  pelantun lagu Boleh Jalan ini menegaskan imej seksi yang dibawa sebelum ini adalah proses pembelajaran untuknya menjadi lebih matang pada hari ini.

“Yang buruk sebelum ini adalah perbuatan saya sendiri. Saya jadikan pengajaran dan kisah dulu itu sudah lepas.

“Itu adalah proses yang Allah aturkan untuk saya menjadi diri saya sekarang,” ujarnya.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin