Pilih Ernie Zakri & Jay Jay Sebagai Gandingan Bersama, Siti Nurhaliza Bakal Adakan Konsert Satu Suara Vol.3 13 Mei Ini!

Penyanyi popular Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil mengumumkan dirinya bakal mengadakan Konsert Satu Suara Vol. 3, pada 13 Mei ini.

Konsert anjuran Yayasan Nurjiwa ini juga akan diadakan di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, dan bakal menampilkan tiga artis dari era yang berbeza iaitu Jay Jay dan Ernie Zakri.

Menurut Siti, dia ingin menampilkan sesuatu yang berbeza setiap kali menjayakan konsert trio ini agar peminat dan penonton sentiasa teruja menantikan kedatangan siri konsert seterusnya.

Dalam pada itu, Siti turut menyifatkan kedua-dua penyanyi pilihannya pada konsert kali ini mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Bagi saya, kalau nak buat trio tu kena tiga-tiga tu sesuai dengan lagu yang kita akan nyanyikan. Macam Jay Jay lagu-lagu dia kita masih boleh menyanyi bersama. Bagi saya lagu dua sangat evergreen dan anak muda sekarang pun tetap boleh menyanyi sekali.

“Macam Ernie, selain kagum dengan kebolehannya bernyanyi, saya memang teringin sangat nak bekerjasama dengan dia. Dia antara nama yang memang sudah ada dalam senarai saya,” katanya.

Sebagai pengasas Yayasan Nurjiwa, Siti berharap agar konsert ini dapat mengajak penonton serta peminat bersama-sama membuat kebaikan.

Malah, orang ramai yang membeli tiket ke konsert ini secara tidak langsung telah membantu Yayasan Nurjiwa meneruskan pelbagai kerja amal.

Sementara itu, Jay Jay sempat menyatakan dirinya sangat berbesar hati untuk menerima tawaran penyanyi popular itu untuk berada sepentas dengannya di konsert mega ini.

“Ini adalah sesuatu yang saya tidak pernah sangka dan datang seperti mimpi. Bagi saya ini peluang yang tidak boleh saya lepaskan, apatah lagi menyanyi sepentas dengan artis yang seperti adik dan anak saya,’’ katanya.

Ernie juga menyatakan dirinya sangat bersyukur dan teruja untuk menjayakan konsert ini kerana itu adalah impiannya untuk menyanyi sepentas dengan Siti Nurhaliza sepanjang bergelar penyanyi.

“Ernie akui sangat teruja dapat menjayakan konsert bersama dua artis yang lebih senior dan berpengalaman. Setelah berbincang dengan pihak pengurusan dan segalanya diatur dengan baik, Ernie bersyukur dan tidak sabar untuk menjayakan konsert ini,’’ kata Ernie.

Terdahulu, Konsert Satu Suara dijayakan oleh Aizat, Faizal Tahir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada tahun 2010 dan tahun 2015 pula menyaksikan trio Dato’ Ramli Sarip, Hetty Koes Endang dan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Konsert Satu Suara Vol.2.

Orang ramai sudah boleh membeli tiket dengan harga RM288, RM388, RM488, RM588 di www.myticket.asia atau menerusi hotline +603-86050196 sejak semalam, 21 Mac 2023.

Fatin Nurain