‘Pulang’ Berjaya Menyentuh Emosi Emma

Pelakon serba dinamik dan komited, Emma Maembong memberi sokongan kepada rakan beliau dalam drama bersiri Cik Sempurna, Azrel Ismail, dengan menonton filem Pulang.

Bagaimanapun, Emma tidak menyangka arahan Khabir Bhatia yang hebat dalam menyentuh hubungan kekeluargaan ternyata mampu memainkan emosi sekaligus menitiskan air matanya.

Emma mengakui filem ini berjaya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.

“Saya menitiskan air mata ketika menonton Pulang. Ini kerana tema kekeluargaan yang diangkat berjaya membuatkan hati saya tersentuh.

“Malah, barisan pelakon berbakat memberi aksi cemerlang. Ada beberapa adegan dalam filem ini yang meninggalkan kesan yang mendalam biarpun tidak mempunyai skrip yang panjang.” Katanya 

Tidak dinafikan sinematografi yang cantik dan memukau membuatkan filem Pulang lebih menarik untuk ditonton. 

“Tahniah diucapkan kepada pelakon yang berjaya membuatkan hati saya tersentuh.

“Selain hiburan, Pulang juga turut menyelitkan mesej nilai positif yang dekat dengan masyarakat,” katanya.

Filem Pulang yang menemui peminat sejak 26 Julai lalu diterajui Remy Ishak dan Puteri Aishah bersama barisan pelakon lain termasuk Azrel Ismail dan Erwin Dawson.

Rata-rata memuji keberkesanan jalan cerita filem ini yang diangkat daripada kisah benar yang juga pernah dilalui keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Pertemuan penuh emosi antara Othman dan anaknya, Omar menjadi antara babak kemuncak dalam filem yang membabitkan kos kira-kira RM6 juta ini.

 

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops