Qistina Raisah Dedah Pernah Dibuang Sekolah – “Ketika Itu, Saya Sempat Datang Selama…”

Pelakon remaja, Qistina Raisah mendedahkan bahawa dia pernah dibuang sekolah kerana kerap tidak hadir.

Menurut Qistina, dia hanya sempat untuk bersekolah selama 10 hari sahaja ketika darjah satu.

“Saya tiada pengalaman duduk di kantin. Seingat saya, duduk di kantin ada orang serbu. Selepas itu saya dibuang sekolah sebab selalu tak datang. Masa itu, saya sibuk shooting untuk sebuah siaran televisyen.

“Sepatutnya saya masuk balik masa darjah 6 untuk ambil UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) tapi tak dapat sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Selepas itu saya cuba untuk masuk lagi ke sekolah, tetapi tiba-tiba dapat ‘job’ untuk ke Itali. Cikgu sangka saya pergi bercuti, dah kena buang terus,” jelasnya.

Qistina ditemui di sidang media filem Rahsia terbitan Astro Shaw di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Tujuan Qistina ke Itali pada ketika itu adalah untuk menjalani penggambaran sebuah drama yang dilakonkan oleh Zul Arifin dan Neelofa.

Berkongsi lanjut, sejak tidak dapat menempatkan diri ke sekolah kebangsaan, dia mengambil inisiatif untuk mengikuti pembelajaran dari rumah (homeschooling).

Menurut Qistina, menerusi pembelajaran dari rumah itu, dia juga dapat mengikuti kelas Mandarin, belajar bermain gitar dan yang terbaru bakal menyertai kelas menembak.

Izzi Farhana