Rakam Semula Lagu Popular SLAM, Zamani Bakal Duet Dengan Penyanyi BBNU

Penyanyi Zamani memaklumkan menerima tawaran untuk berduet dengan penyanyi BBNU ( Budak Baru Nak Up), baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu Gerimis Mengundang ini, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan penyanyi muda.

“ Jujurnya saya senang sekali sekiranya projek ini menjadi. Saya tiada masalah untuk duet bersama penyanyi baharu kerana sewaktu awal kemunculan saya dahulu, saya juga menimba pengalaman berduet bersama penyanyi Jay Jay. Baru atau lama, saya sedia bekerjasama.

“ Semua masih dalam perancangan. Antara penyanyi meningkat naik yang disebutkan adalah Haqiem Rusli dan Khai Bahar.

“ Mengikut rancangan, kami akan berduet menyanyikan semula lagu-lagu popular kumpulan Slam yang diberi nafas baharu. Namun semua masih di peringkat awal perbincangan. Jika semua berjalan lancar, Insya Allah projek akan direalisasikan tahun depan,” katanya kepada xtra.com.

Tambah Zamani, seramai lima artis baharu yang disenaraikan namun setakat ini hanya dua penyanyi yang dimaklumkan kepadanya iaitu Haqiem Rusli dan Khai Bahar. 

Dalam perkembangan lain, Zamani bakal mengadakan persembahan di empat lokasi Hard Rock Café iaitu Kuala Lumpur, Melaka, Singapura dan Pulau Pinang.

 

SGMS Faida