Raysha Rizrose Bosan Jadi Baik?

Pelakon, Raysha Rizrose, menganggap peluang menjayakan watak antagonis dalam drama, Cindai, sebagai impian yang menjadi nyata.

Katanya, selepas sering diamanahkan melakonkan karakter baik, dia teruja apabila julung kali dicabar menghidupkan watak jahat menerusi naskhah terbitan JS Pictures itu.

“Saya percaya, setiap peluang yang dihulurkan kepada pelakon menjadi medan untuk kami mempelbagaikan kebolehan.

“Menerusi watak Jasmin ini pula, saya harus keluar dari zon selesa, seterusnya mencabar keupayaan diri. Saya perlu menggunakan peluang ini bagi membuktikan bakat seni dimiliki,” kata adik kepada Uqasha dan Nelydia Senrose itu.

Menurutnya, agak lama juga dia menantikan watak sedemikian dalam usahanya menjadi pelakon lebih baik.

“Akhirnya, produksi JS Pictures yang membuka peluang untuk saya mencuba watak sebegitu. Awalnya, Yasmin kelihatan seperti seorang yang baik. Bagaimanapun, perlahan-lahan penonton akan dapat menyaksikan sisi hitam wanita itu.

“Pendek kata, Yasmin seakan wanita yang mempunyai masalah jiwa. Ia menjadikan watak berkenaan cabaran besar untuk saya jayakan,” katanya yang mengakui cukup menggemari peranan seperti itu.

Menurut Raysha atau nama sebenarnya Farza Naquraisha Mohd Fariz, 23, dia sebenarnya terbuka untuk meneroka apa sahaja watak diberikan.

“Selama ini, memang watak baik yang sering saya terima. Saya sendiri masih hijau dalam lakonan, jadi saya anggap apa sahaja tawaran dan watak yang diamanahkan sebagai proses pembelajaran.

“Kalau sudah lama berada di pentas seni, pastinya saya mahu terus mencabar diri dan enggan selesa dengan apa yang ada,” katanya.

Tambah Raysha, dia sedar, mungkin ada yang beranggapan dirinya belum popular atau menyerlah dalam bidang seni.

“Mungkin belum masanya untuk saya berada pada tahap itu. Jujurnya, menyerlah atau popular itu sangat subjektif.

“Apa yang lebih penting buat waktu ini, saya terus belajar mewarnai dan mendalami setiap watak yang diberikan,” katanya yang mula aktif dalam lakonan sekitar tiga tahun lalu.

SGMS Enal